Birokrasi bukan punca kelewatan

0

MOHAMMAD SHIBLI

TBS perlu patuhi peraturan sebelum serah bantuan kepada yang layak

KUCHING: Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Abang Mohammad Shibli Abang Mohd Nailie berkata karenah birokrasi bukan penyebab kelewatan pemberian bantuan kepada golongan yang layak tetapi organisasi itu harus mematuhi setiap peraturan serta garis panduan telah ditetapkan.

Beliau berkata, garis panduan serta peraturan itu telah ditetapkan oleh Majlis Islam Sarawak dan Pejabat Mufti negeri.

Menurutnya setiap permohonan yang memenuhi syarat akan diproses dalam tempoh tidak lebih 10 hari bekerja.

“Jadi sebab itu orang kata lambat, itu bukan persoalan, persoalannya orang itu layak atau tidak dan yang lain TBS ada peraturan serta garis panduan yang mesti dipatuhi,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau ditemui pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri TBS di Dewan Majlis Islam Sarawak, di Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Abang Mohammad menambah dari segi bantuan pendidikan misalnya TBS telah mendapat pengiktirafan sijil ISO Barat dan Islam membuktikan organisasi itu begitu cermat serta terperinci dalam hal tersebut.

Bentuk bantuan lain seperti kebajikan serta fakir miskin pula katanya, TBS perlu membuat siasatan terperinci mengenai tahap kedaifan pemohon sebelum permohonan diluluskan.

“Kita perlu siasat terlebih dahulu, tengok tahap kedaifan, ada tak pemohon mendapat bantuan daripada agensi lain atau tidak. Kalau benar pemohon benar-benar daif dan tiada bantuan, sudah tentu kita akan bantu. “Ada juga kes kini memberi bantuan kepada pemohon yang ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah siasatan kita mendapati mereka masih tidak mampu,” jelasnya. Beliau menambah: “Kita nak ambil wang di bank pun kita kena ikut peraturan, itu sebenarnya yang berlaku.”

Beliau memberitahui TBS perlu tegas dalam meluluskan permohonan setiap bentuk bantuan ditawarkan bagi memastikan hanya pemohon yang layak menerima bantuan.

“Ada golongan yang berkemampuan turut meminta bantuan dari TBS, itu kita tidak nafikan…Jadi kita tidak boleh membiarkan sistem itu begitu, takut lain orang minta, lain pula yang dapat.

“Ia sangat sukar, Baitulmal di mana-mana sahaja pun menerima hakikat sedemikian tetapi sudah tentu bagi pihak kita, kita pastikan peraturan kita diikuti,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu semenjak 2002 TBS telah membantu 17,000 pelajar di seluruh Sarawak melanjutkan pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi.

TBS juga katanya, setakat ini memberi bantuan saraan hidup bulan kepada hanya 280 orang fakir miskin di seluruh negeri.

“Ini kerana kita turun padang, kita semak betul-betul sebab dari segi hukumnya kami yang bertanggungjawab mengagihkan wang bantuan ini takut akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia tetapi akhirnya… berat ya memang berat,” tegasnya.