BN Sarawak tumpu kawasan bandar

0

DR STEPHEN RUNDI

Wakil rakyat perlu persiap diri, penuhi kehendak penduduk bandar

SIBU: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memberi tumpuan yang lebih kepada kerusi di kawasan bandar dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, ini kerana pengundi di bandar telah banyak berubah sejak kebelakangan ini, seperti yang telah ditunjukkan pada pilihan raya negeri yang lepas.

“Kita perlu membuat perubahan di kawasan terbabit bagi memenuhi kehendak mereka. Kita juga perlu menyiapkan diri bagi memenuhi kehendak penduduk bandar yang semakin meningkat,” ujarnya kepada pemberita, malam kelmarin.

Dr Rundi yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam berkata, wakil rakyat termasuk ahli Dewan Undangan Negeri perlu menyiapkan diri bagi membantu mereka memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada rakyat.

“Dengan perkhidmatan yang baik kepada rakyat, kita mampu memenangi pilihan raya Parlimen akan datang setelah kejayaan memenangi dua pertiga kerusi pada pilihan raya negeri lepas,” jelasnya.

Menyentuh mengenai barisan calon BN Sarawak bagi pilihan raya Parlimen akan datang, beliau memberitahu keempat-empat komponen BN telah mengenal pasti calon yang berpotensi untuk bertanding di kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

Katanya, senarai calon yang berpotensi daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sedia untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan BN Sarawak dan juga BN Pusat pada bila-bila masa.

“Bagaimanapun, senarai nama ini kita simpan dahulu bagi membolehkan parti-parti komponen memeriksa dengan lebih rapi calon-calon mereka sebelum senarai akhir calon dibuat,” ujarnya sambil menambah semua pihak memerlukan masa untuk menentukan calon yang benar-benar layak.

Buat masa ini menurut Dr Rundi, beliau tidak dapat memberitahu jumlah calon yang berpotensi bagi setiap kawasan memandangkan setiap kawasan mempunyai lebih daripada seorang calon yang sesuai.

Apa yang penting katanya, adalah untuk menggerakkan semua jentera pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, yang antara lain melibatkan kerjasama semua parti komponen BN.

“Bagi memastikan kejayaan BN, kerjasama semua parti komponen harus dikekalkan. Jika hubungan ini tidak dijaga, BN Sarawak akan menghadapi kesukaran untuk mengalahkan pembangkang.

“Saya yakin semua parti komponen telah belajar daripada pilihan raya yang lepas,” katanya yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam.