Guru berjaya berkas pencuri

0

KUCHING: Seorang guru rasa bersyukur apabila nalurinya yang menggesa dia pulang segera ke rumahnya di Padawan, membantunya memberkas seorang pencuri.

Ketika ditemui pada malam Selasa lepas lelaki berusia 53 tahun itu berkata, dia pada masa itu berada di Batu 4 1/2 bersama isteri dan anak lelakinya serta rakan-rakan sekerjanya, untuk merancang parti perpisahan kepada guru yang bakal bersara di sekolah mereka.

“Sekitar jam 3.30 petang saya tiba-tiba berasa gelisah dan memberitahu isteri saya, yang juga mengajar di sekolah yang sama dengan saya bahawa kami perlu bergegas balik ke rumah.

“Saya tidak dapat menjelaskan apa yang berlaku tetapi naluri saya menyatakan saya harus balik,” kata guru itu sambil menepuk dadanya. Pasangan itu bersama anaknya kemudian meninggalkan tempat berkenaan dan tiba di rumah mereka di Batu 10. Pada mulanya mereka mendapati tiada apa yang berlaku.

Bagaimanapun ketika si suami membuka pintu pagar untuk memandu masuk kereta, tiba-tiba dua lelaki melarikan diri ke arah berasingan.

Dia serta-merta berteriak meminta pertolongan jiran, kemudian kembali ke dalam keretanya dan mengejar salah seorang daripada pencuri, yang berbadan besar dan berjaya menyekat jalan keluar suspek. Sementara rakan suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan.

Beberapa orang jiran mangsa yang membantu menangkap suspek berjaya mendapatkan semula beg yang diambil dari tempat kejadian yang mengandungi gelang emas serta rantai leher milik keluarga guru itu.

Guru berkenaan berkata beliau bernasib baik kerana pencuri terbabit tidak dapat melarikan diri disebabkan tidak dapat merentasi longkang besar di hadapan rumahnya.

Suspek yang berusia 36 tahun berasal dari Batu 9 1/2 Jalan Penrissen telah diserahkan kepada polis dan ditahan untuk siasatan lanjut.