Lebih 200 ADUN BN berkampung di Kuala Selangor selama tiga hari

0

SHAH ALAM: Seramai 240 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara berkampung di Kuala Selangor selama tiga hari mulai semalam dalam usaha mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka. Pengerusi Kelab ADUN BN Malaysia Datuk Nadzri Ismail berkata, ini adalah kali pertama program berkampungan itu diadakan di Selangor selepas Perak pada 2006 dan Pahang 2008.

Untuk kali ini, kelab itu tu-rut memperkenalkan program baru iaitu progam keluarga angkat di mana seramai 150 ADUN akan menyertainya yang melibatkan 45 daripada 56 kawasan DUN Selangor, katanya pada sidang berita di sini semalam.

Beliau berkata, antara mereka yang terlibat dalam program keluarga angkat ialah beberapa bekas menteri besar yang akan tinggal bersama dengan keluarga angkat.

Melalui program anak angkat ini, diharapkan para ADUN BN dapat menyelami masalah penduduk di kawa-san terbabit serta mengerat-kan lagi hubungan antara BN dengan rakyat.

Nadzri, ADUN Manjoi, Perak, berkata, antara program bersama keluarga angkat ialah program jamuan Aidilfitri di semua kawasan 45 DUN serta program ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah di kawasan keluarga angkat masing-masing bagi melihat sendiri masalah yang masih belum dikenal pasti oleh ADUN BN di Selangor.

“Mungkin ada yang susah atau kesempitan hidup jadi kita akan ziarah rumah sebanyak mungkin dan tugas kita ialah untuk bantu dan buat penambahbaikan kepada rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan keluarga angkat, Nadzri berkata, setiap keluarga yang terlibat dipilih tanpa mengira fahaman politik masing-ma-sing dan terpulang kepada mereka sama ada untuk menyokong BN atau sebalik-nya kerana apa lebih penting ialah keikhlasan parti itu dalam membantu rakyat.

“Kita akan tempatkan dua atau tiga ADUN di setiap tempat kerana kita nak wakil rakyat dengan rakyat rapat dan boleh suarakan masalah,” katanya.

“Pada masa yang sama, wakil rakyat ini akan terangkan kepada rakyat mengenai fakta sebenar isu-isu (yang dibangkitkan pembangkang) selain menerangkan dasar kerajaan BN kepada rakyat. Harap dengan cara itu rakyat akan lebih faham dengan jelas,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan yang bertemakan ‘1Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan pasar raya Tesco Bandar Kuala Selangor malam esok.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menutup perhimpunan tersebut di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Kapar, Klang pada Jumaat ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijadual memberi cera-mah mengenai peranan dan cabaran terkini wakil rakyat di Dewan UMNO Bahagian Kuala Selangor petang esok, katanya. — Bernama