Najib, Rosmah mohon ketepi sapina bagi kes liwat Anwar

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor semalam memfailkan permohonan bagi mengetepikan sapina yang menghendaki mereka menjadi saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tertuduh.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini pada jam 3.30 petang menerusi fi rma guaman Hisyam Teh Poh Teik & Company.

Mereka menamakan Anwar dan Pendakwa Raya sebagai responden. Najib dan Rosmah diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin, Hisyam Teh Poh Teik, M.Athimulan dan Datuk Ghazi Ishak.

Salehuddin ketika ditemui pemberita bagaimanapun enggan menjelaskan asas bagi permohonan itu dibuat, sambil berkata bahawa mahkamah belum menyediakan salinan permohonan itu yang disahkan.

“Kami sedang menunggu salinan itu,” katanya. Salehuddin berkata, pihakpihak yang terlibat akan menemui Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang mendengar kes liwat itu hari ini, untuk menetapkan tarikh bagi mendengar permohonan berkenaan.

Beliau berkata, Najib dan Rosmah telah menerima sapina berkenaan kelmarin. Anwar, 64, sedang dibicarakan bagi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada 8 Ogos lepas, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar menyoal 71 saksi termasuk Najib dan Rosmah yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan, untuk menjadi saksi pendakwaan. Pada 12 Ogos, Najib dan Rosmah berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini untuk sesi berkenaan.

Dalam perbicaraan kes liwat itu semalam, pakar DNA Australia Dr Brian Dr McDonald, yang sedang disoal balas oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, memberitahu mahkamah bahawa ahli kimia Dr Seah Lay Hong, telah membuat kesimpulan tidak betul bahawa contoh sel air mani daripada ‘Lelaki Y’ dan menganggap ianya hasil ‘tekaan’.

Katanya, oleh kerana Dr Seah tidak menggunakan slaid bagi mengesahkan dan menelitinya menerusi mikroskop, maka sampel yang ‘dibersihkan’ daripada sel biasa dan merupakan sel air mani yang tulen, ianya boleh dikatakan air mani Mohd Saiful sendiri terdapat dalam duburnya. Mohamed Yusof: Anda menghurai mengenai ekstrasi yang pelbagai.

Anda menyentuh mengenai prosedur yang berkaitan, pernahkah anda melakukannya sendiri? Dr McDonald: Seingat saya, tidak. Mohamed Yusof: Jadi, apabila anda memberitahu mahkamah mengenai prosedur berkenaan, anda bukannya bercakap berdasarkan pengalaman? Dr McDonald: Saya pernah melakukannya tetapi bukannya kerap secara harian. Saya tidak lakukannya sendiri tetapi saya mengawal selia mereka yang melakukannya.

Mohamed Yusof kemudian merujuk kepada satu artikel yang menyatakan bahawa menggunakan slaid bagi mengesahkan contoh yang diasingkan mengandungi hanya sel air mani bukannya satu kemestian dan ini diakui oleh Dr McDonald. Perbicaraan disambung hari ini. — Bernama