Naroden tidak jangka dinaik ke jawatan menteri penuh

0

KUCHING: Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Mohd Naroden Majais berkata, beliau tidak menjangkakan untuk dinaikkan ke jawatan menteri penuh dalam rombakan kabinet akan datang.

Katanya, beliau tetap selesa meskipun terus menjadi Menteri Muda, namun sekiranya ditawarkan untuk dinaikkan pangkat, beliau bersedia menerimanya.

“Saya gembira untuk kekal sebagai Menteri Muda dan tidak pernah menjangkakan untuk dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh, tetapi semua ini adalah keputusan Ketua Menteri.

“Apa yang penting kepercayaan Ketua Menteri kepada saya dan saya harus membalasnya dengan memberikan yang terbaik,” katanya semalam.

Naroden yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Men-teri (Pembangunan Usahawan) ditemui selepas merasmikan Minggu Keusahawanan 2011 Politeknik Kuching Sarawak (PKS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu mula menyertai politik pada 1991 dan menjadi menteri muda sejak 2007.

Justeru, mengenai peluangnya untuk mendapat jawatan menteri penuh, Naroden menjelaskan setakat ini tiada kekosongan yang perlu diisi dalam kabinet negeri dan peluangnya adalah tipis.

Katanya, berdasarkan perlembagaan negeri terdapat hanya lapan menteri penuh dan ditambah dengan jawatan ketua menteri yang menjadikannya sembilan.

“Kita mungkin mempunyai banyak portfolio menteri tetapi seperti yang kita semua tahu setiap menteri boleh memegang lebih daripada satu kementerian.

“Sebagai contoh, Datuk Amar Awang Tengah (Ali Hasan) dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg masing-masing memegang lebih daripada satu portfolio,” tegasnya.