Festival layang-layang Bintulu tarik perhatian

0

Ribuan penduduk teruja menyaksikan persembahan ‘revolution kite’ berirama dan ‘stunt kite’

BINTULU: Penduduk di sini teruja menyaksikan persembahan ‘revolution kite’ berirama dan ‘stunt kite’ yang dipersembahkan oleh dua pasukan layang-layang ternama dunia membabitkan i-Quad Team dan Air Rex Team Japan di majlis pelancaran rasmi Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu Ke-7 2011 di tapak lapangan terbang lama semalam.

Pelancaran rasmi festival itu disempurnakan oleh Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak dan pengerusi bersama festival, Datuk Talib Zulpilip.

Beliau turut menyaksikan penyertaan dan penampilan ke-100 i-Quad Team dalam festival ini serta persembahan stunt kite menarik oleh Air Rex Team Japan.

“Penyertaan anda sebagai peserta antarabangsa dan negeri dalam festival ini amat dialu-alukan memandangkan kami bersikap mesra,” ujar Talib ringkas pada majlis pelancaran ringkas festival itu semalam.

Justeru beliau mengharapkan agar para peserta gembira dan seronok menyertai festival berkenaan terutama kepada negara-negara yang baru menyertainya dan menyimpan penyertaan mereka di festival ini sebagai kenangan yang berharga.

Sementara itu Residen Bintulu Ismail Mohd Hanis yang juga pengerusi bersama festival berkata, penyertaan dalam festival layang-layang terbabit meningkat setiap tahun dan populariti festival terbabit juga semakin bertambah dari dalam dan luar bahagian ini apabila melihat penyertaan beberapa negara baru.

“Kali ini kita disertai oleh empat negara baru iaitu Belgium, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Vietnam termasuk dua pasukan ternama dunia – i-Quad Team dan Air Rex Japan,” tambahnya.

Beliau berkata, festival bukan sahaja membawa kelainan kepada penduduk bahkan menghadirkan suasana baik di kalangan penduduk di Bintulu.

“Dengan sokongan semua pihak khususnya semua peserta festival layang-layang ini maka pihak penganjur merancang untuk menambah baik festival ini pada tahun-tahun mendatang.

“Untuk para peserta jangan lupa merasai makanan tempatan dan membawa balik cenderamata berharga dari sini untuk dijadikan kenangan,” katanya.

Terdahulu lebih 100 peserta melibatkan peserta antarabangsa dan tempatan menyertai festival kali ketujuh tersebut.

Pada majlis yang sama, Talib turut diperkenalkan dengan maskot festival iaitu Sanai Vaie dan seterusnya diperkenalkan kepada semua peserta yang menyertai festival tersebut sebelum dibawa mencuba menerbangkan layang-layang di tapak festival.