Penduduk Mukah mahukan Mahmud

0

Sekumpulan penduduk meminta pucuk BN mencalonkan Mahmud di Parlimen Mukah

MUKAH: Tokoh konglomerat tersohor Dato Sri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib semakin popular di sini sejak Utusan Borneo menyiarkan laporan eksklusif pada 6 September lalu mengenai kesediaan beliau dicalonkan di Parlimen Mukah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Semalam, sekumpulan penduduk yang diketuai Siri Dani berhimpun secara aman di dataran berhampiran Pasar Basah, di sini untuk meminta pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar mencalonkan Mahmud di Parlimen Mukah dalam PRU akan datang.

Siri menyifatkan Mahmud sebagai individu terbaik untuk meneruskan pembangunan di Parlimen Mukah kerana beliau merupakan anak muda yang berwibawa, berpendidikan tinggi, berpengaruh dan lahir dalam sebuah keluarga politik terkenal.

“Kami memohon kepada pucuk pimpinan BN agar mencalonkan Mahmud di Parlimen Mukah dalam PRU akan datang.

“Kami sedar penduduk di konstituensi lain turut mahu Mahmud mewakili mereka tetapi berilah keutamaan kepada Parlimen Mukah.

“Justeru, Parlimen Mukah adalah bumi kelahiran moyang Mahmud. Jika Mahmud dicalonkan di Parlimen Mukah dalam PRU akan datang, kami berjanji untuk berjuang habis-habisan demi memastikan beliau menang dengan majoriti yang besar,” tambahnya. Mahmud Abu Bekir yang ditemui Utusan Borneo semasa Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di The Grand, Kingwood Resorts, di sini pada 5 September lalu berkata, beliau sedia bertanding di Parlimen Mukah dalam PRU akan datang, namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) itu menyatakan demikian ketika diminta mengulas ucapan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang memberitahu bahawa beliau mahu Mahmud menabur khidmat kepada bumi kelahiran moyangnya (Mukah) menerusi politik.

Sementara itu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melahirkan rasa teruja serta gembira dengan kesediaan Mahmud untuk berkecimpung secara langsung dalam politik.

Turut menyuarakan sokongan secara terbuka dan bangga andai Mahmud dicalonkan di Parlimen Mukah dalam PRU akan datang ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datin Fatimah Abdullah.