Perlu kerja keras di kawasan Dayak

0

KUCHING: Barisan Nasional (BN) tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kenyataan menyatakan kawasan majoriti Dayak kubu kuat BN.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos berkata, sikap seperti itu harus dielakkan kerana ia hanya akan menyebabkan BN leka sehingga melupakan tugas utama mereka iaitu terus berkhidmat untuk rakyat.

Beliau menambah, kenyataan itu hanyalah perang psikologi pembangkang kerana realitinya sekarang Dayak tidak hanya melihat BN sebagai kerajaan tetapi badan yang boleh membantu dalam pelbagai aspek.

Komuniti Dayak sekarang tambahnya, tidak sekadar mahukan pembangunan infrastruktur asas tetapi skop yang lebih luas iaitu pendidikan serta pembangunan tanah.

“Jadi apa yang perlu dilakukan BN ialah terus bekerja keras untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pada masa sama ‘berbuat baik’ kepada rakyat khususnya di luar bandar.

“Jangan sia-siakan kepercayaan dan harapan yang diberikan oleh Dayak kepada BN kerana sikap seperti ini tidak mustahil akan membawa kesan tidak baik kepada BN,” katanya kepada Utusan Borneo kelmarin.

Beliau percaya jika pemimpin BN khususnya di kawasan majoriti Dayak terus melaksanakan tugas dengan baik, Dayak akan terus menyokong BN.

Dayak lazimnya kata beliau, tidak yakin pembangkang dapat membantu mereka bagaimanapun beliau percaya tanggapan ini akan berubah jika kesilapan berpunca daripada BN.

Minos yang juga pengerusi PBB Opar berkata, BN tidak boleh membiarkan perbalahan dalaman yang hanya akan merugikan BN pada kemudian hari.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Dr Patau Rubis dalam Utusan Borneo semalam (terbitan Khamis, 21 September) yang menyatakan bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menang di kawasan majoriti Dayak pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Menurutnya, ia berdasarkan sentimen di peringkat akar umbi ketika ini.

Selain itu katanya, PKR dan DAP tidak akan bekerjasama dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang masih mempunyai penyokong daripada pengundi Bidayuh dan Iban.

Sarawak mempunyai 31 kawasan pilihan raya Parlimen. Dua daripadanya dimenangi DAP iaitu Parlimen Bandar Kuching dan Sibu.

Kedua-dua kawasan itu merupakan kerusi majoriti pengundi Cina.