Upacara miring mulakan BASE Jump Sibu 2011

0

SIBU: BASE Jump Sibu 2011 bermula secara rasmi pagi semalam dengan upacara ‘miring’ bagi memohon restu dan mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Upacara ‘miring’ yang bermula jam 9 pagi itu dihadiri oleh Residen Bahagian Sibu merangkap pengerusi Pasukan Petugas Penggalak Pelancongan Bahagian Sibu (SDTTG) Sim Kok Kee.

Hadir sama ialah Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sibu Rudy Anoi, ketua peserta Kapten Aziz Ahmad, penerjun dari Australia Gary Cunningham, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail serta jurutera Pelita Towerview Sdn Bhd Tony Hii.

Menurut Rudy, upacara ‘miring’ itu dilakukan atas permintaan daripada para peserta yang inginkan suatu upacara yang berbeza berbanding kebiasaan.

“Upacara ini bagi memohon restu agar peserta dapat melakukan terjunan dengan selamat,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Rudy juga memberitahu, upacara miring itu juga berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan memandangkan ia merupakan sebahagian daripada kebudayaan dan adat kaum Iban.

“Malah apabila berkunjung ke rumah panjang, pelancong amat tertarik dengan upacara tradisional ini di samping tarian ngajat,” jelas beliau.

Selesai upacara ‘miring’, 23 peserta BASE Jump edisi ketiga itu kemudian melakukan terjunan dari atas bangunan Wisma Sanyan, bangunan tertinggi di Bumi Kenyalang.

Ahmad Zaharuddin Zainuddin, seorang penerjun negara memulakan terjunan sambil membawa Jalur Gemilang, diikuti oleh Hizam Sahibudeen yang membawa bendera Sarawak.

Selain empat penerjun dari Malaysia, program turut disertai peserta dari Australia (sembilan), Amerika Syarikat (tujuh), Austria (dua), New Zealand (dua), Netherlands (seorang) dan United Kingdom (seorang).

BASE Jump ini yang akan berlangsung sehingga 25 September dianjurkan oleh SDTTG dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak serta agensi-agensi kerajaan yang lain. Turut membantu ialah Persatuan BASE Australia (ABA) dan Persatuan BASE Malaysia (MBA).