Generasi muda diiktiraf

0

KUCHING: Sarawak bakal memperlihatkan penyusunan semula jentera pentadbiran kerajaan tempatannya dengan penyertaan daripada generasi muda.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata tindakan itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun depan.

“Sudah tiba masanya untuk kita memberi nafas baru kepada kerajaan tempatan kita dengan penyertaan daripada golongan muda.

“Namun proses penyusunan semula pentadbiran ini akan kita jalankan selepas rombakan kabinet negeri, yang saya umumkan pada minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Jadi Ke-90 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah di Padang Merdeka di sini, semalam.

Perbarisan berwarna-warni itu disertai 90 kontinjen terdiri daripada 1,500 peserta sektor awam dan swasta, serta pelajar sekolah dan kumpulan belia. Turut diadakan persembahan kebudayaan.

Menurut Taib, Sarawak mempunyai ramai pemimpin muda berpotensi di peringkat akar umbi yang bersedia untuk membantu dalam mentadbir negeri ini.

Bagaimanapun ujarnya, mereka perlu menampilkan diri dan bukan hanya dengan menyuarakan pendapat atau mengkritik kerajaan sedia ada.

“Mungkin ada antara mereka lebih memilih untuk menyuarakan kritikan sahaja tetapi ia tidak mencukupi.

“Apa yang penting adalah untuk berkhidmat kepada rakyat kerana kita memerlukan ‘warrior’ atau individu yang berpotensi untuk melaksanakan apa yang kita mahukan,” tegasnya.

Dalam pada itu Taib menyeru rakyat negeri ini terutamanya ibu bapa agar menyediakan anak-anak mereka bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi kemahiran teknikal.

Ia jelas beliau bagi memenuhi peluang pekerjaan terutamanya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang amat memerlukan bidang berkenaan.

“Memang kita perlukan graduan daripada universiti dalam usaha membangunan negeri ini namun ia tertumpu kepada golongan kecil sahaja.

“Golongan besar adalah mereka yang menjalankan kemahiran berasaskan teknikal kerana peluang pekerjaan akan datang cenderung kepada kemahiran itu,” tegasnya.

Majlis turut dihadiri isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua yang juga menteri bertanggungjawab terhadap majlis itu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pengerusi pengelola yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, menteri-menteri kabinet dan wakil-wakil rakyat.