Bekalan ayam segar berkurangan

0

KURANG BEKALAN: Peniaga ayam segar di Pasar Tamu Satok berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam segar.

Selepas tamat tempoh kawalan harga musim perayaan, pengguna berhadapan masalah kekurangan bekalan pula

WAN AHMAD UZIR

KUCHING: Musim perayaan kini menghampiri penghujungnya, namun isu bekalan ayam segar terus membelenggu pengguna, peniaga serta pembekal.

Selepas tamat tempoh kawalan ke atas harga ayam segar pada musim perayaan lalu, kini pengguna berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan pula.

Masalah ini tidak hanya membimbangkan pengguna, malah peniaga dan pembekal turut berhadapan dengan kerugian apabila aktiviti perniagaan yang mereka jalankan terjejas.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar pasar-pasar utama di sini semalam mendapati rata-rata penjual ayam kini sedang berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam segar.

Menurut mereka masalah ini bermula pada musim perayaan yang lepas dan berlarutan hingga kini atas sebab-sebab yang tidak dapat dipastikan punca sebenarnya.

Salah seorang peniaga di Pasar Tamu Satok, yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul mengakui memang betul ada kekurangan bekalan ayam segar sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun, sukar untuknya menjelaskan sebab-sebab berlakunya kekurangan bekalan ayam berikutan terlalu banyak cerita yang disebarkan berhubung masalah ini.

“Kami peniaga-peniaga di pasar Satok ini tidak menafikan ketika ini memang berlaku kekurangan bekalan ayam segar bermula sejak musim perayaan yang lepas.

“Ekoran kekurangan bekalan ini, berlaku peningkatan harga ayam segar dan semua peniaga di sini mengenakan harga sama rata iaitu RM9.50 sekilogram untuk ayam segar termasuk hati dan hempedal.

“Apa yang membimbangkan kami di sini ialah kemungkinan berlakunya penyekatan bekalan oleh pembekal atas permintaan pasaran sehingga menyebabkan kenaikan harga,” katanya.

Sementara itu, di pasar raya besar emart Matang di sini, peniaga-peniaga ayam segar turut meluahkan kebimbangan mereka ke atas kekurangan bekalan yang semakin ketara.

Penyelia Perniagaan Ayam Segar Jipon Ahe yang ditemui memberitahu, daripada 10 bakul tempahan yang dibuat hanya dua bakul sahaja diterima daripada pembekal dengan setiap bakul mengandungi 30 ekor ayam dengan berat 60 kg.

Mereka bagaimanapun menurutnya tidak dimaklumkan sebab-sebab kekurangan bekalan daripada kilang pembekal yang terletak di kawasan Samarahan.

“Bekalan ayam memang kurang ketika ini dan telah mengadu kepada pihak pembekal namun tidak dimaklumkan sebab-sebab berlakunya kekurangan bekalan.

“Berikutan masalah ini, kami peniaga-peniaga di sini terpaksa menutup operasi perniagaan lebih awal daripada kebiasaan bermula dari jam 7 pagi hingga 2 petang berbanding 8 malam sebelum ini,” jelasnya.

Hasil tinjaun di kalangan pembekal pula, Penyelia Stor Central Coldstorage Kuching (CCK) Sdn Bhd (Kota Padawan) Jessie Tan turut tidak menafikan kekurangan bekalan tersebut di pasaran kini.

Malah menurutnya, pihaknya juga terpaksa menaikkan harga ayam segar tersebut dengan alasan terpaksa menampung kenaikan harga baja.

“Memang ayam segar sangat berkurangan sekarang, saya dalam sehari akan menempah 100 ekor ayam segar, tetapi yang mampu dibekalkan kepada kami hanya dalam 50 ekor sahaja dan kami juga terpaksa menaikkan harga sebanyak 40 sen kerana harga baja (makanan ayam) kini mahal,” katanya.

Situasi yang sama juga berlaku kepada Pemilik Yeung Lok Coldstorage Sdn Bhd (Ayam Mahkota) Chai Ming Chung, yang menyatakan bahawa bekalan tersebut kini hampir tidak dapat memenuhi permintaan pelanggannya.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana saya risau jika ia berlarutan dalam tempoh yang lama, mungkin akan mengundang lebih banyak masalah,” katanya.

Temu ramah bersama seorang penternak dan pembekal komoditi tersebut, Jong Sui Jong, 57, pula memberitahu, setakat ini beliau tidak mempunyai masalah untuk membekal komoditi tersebut.

“Saya rasa bekalan bukan satu masalah kerana bagi saya, saya tidak pernah menghampakan pemborong saya,” katanya sambil memberitahu bahawa beliau membekalkan komoditi tersebut ke Pasar Kota Padawan dan beberapa lagi pasar.

Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak mengetahui masalah yang dihadapi oleh pembekal dan penternak lain.

“Saya hanya membekalkan kepada pemborong saya sahaja dan tentang pembekal lain saya tidak tahulah masalah yang dihadapi mereka,” katanya.

Menurutnya dalam sehari, beliau akan membekalkan sekitar 200 ekor ayam kepada pemborongnya.

Susulan masalah ini, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman mengadakan mesyuarat dan meminta laporan segera daripada semua cawangan.

Sejurus laporan diterima tengah hari semalam, KPDNKK akan segera mengambil tindakan selanjutnya untuk menangani masalah ini daripada berlarutan.

Beliau yang dihubungi semalam memberitahu bahawa kenaikan harga ayam segar disebabkan harga dikawal oleh permintaan pasaran dan pembekal.

“Ketika ini kami (KPDNKK) tidak melakukan kawalan harga kerana kawalan hanya dilakukan seminggu sebelum perayaan dan seminggu selepas perayaan.

“Kita tunggu dulu hasil laporan yang diterima daripada semua cawangan tengah hari, dan selepas itu barulah kita dapat menentukan tindakan selanjutnya, “ jelasnya.