Berdosa buang, longgok Al-Quran dalam semak

0

Ia harus dihormati biarpun dalam bentuk tidak sempurna

KOTA BAHARU: Umat Islam ditegah daripada melonggok atau membuang al-Quran yang tidak digunakan di merata tempat termasuk dalam semak walaupun tersalah cetak kerana ia boleh mencemarkan kesucian dan menghina kitab suci itu.

Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata adalah berdosa seseorang Islam tidak menghormati kitab suci al-Quran walaupun ia dalam bentuk tidak sempurna.

“Islam melarang umatnya menghina al-Quran dengan membiarkan dibuang di merata tempat walaupun ia tidak digunakan lagi seperti kitab usang atau tersalah cetak,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan pemandu sebuah trailer dengan muatan penuh naskhah al-Quran yang dipercayai salah cetak dilonggokkan di kawasan semak berdekatan rumah penduduk Kampung Pak Endeng, Pauh Sembilan, dekat Bachok, tiga hari lepas.

Seorang penduduk berdekatan memaklumkan perkara itu kepada polis dan Pejabat Agama Islam untuk mengambil tindakan lanjut susulan longgokan naskhah al-Quran yang dipercayai dari syarikat percetakan di Selangor itu.

Nik Abdul Kadir berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya sebelum ini mengambil ketetapan bahawa naskhah al-Quran yang tidak digunakan mesti dilupuskan secara berhemah supaya kehormatannya dipelihara mengikut lunas-lunas Islam.

“Berdasarkan keputusan itu, mana-mana syarikat pencetak yang hendak melupuskan naskhah al-Quran yang tidak digunakan itu hendaklah menggunakan khidmat syarikat pelupusan ditauliah bagi memastikan ia dilupuskan secara terhormat sesuai dengan kesuciannya.

“Bagi orang perseorangan pula hendaklah membakar naskhah berkenaan dan abunya hendaklah ditanam atau dibuang ke sungai,” katanya. — Bernama