Hospital Miri perlu penginapan

0

Naik taraf kemudahan termasuk tempat menginap kepada keluarga pesakit

MIRI: PAS Sarawak menyarankan kerajaan negeri menaik taraf kemudahan di Hospital Miri termasuk menyediakan tempat menginap yang lebih selesa kepada keluarga pesakit dari luar bandar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata meskipun Hospital Miri dilengkapi peralatan canggih dan moden untuk rawatan pesakit, namun kerajaan juga perlu menyediakan tempat yang selesa untuk keluarga pesakit.

“Ramai yang menunggu, berbaring dan tidur di sepanjang kaki lima hospital demi menemani ahli keluarga mereka yang sakit dan ia amat menyedihkan terutama bagi mereka yang datang dari luar bandar dan tiada tempat tinggal lain,” ujarnya.

Tambah Jofri, Hospital Miri yang dibina dengan kos kira-kira RM123.91 juta itu sepatutnya dilengkapi kemudahan yang bukan sahaja untuk pesakit tetapi ahli-ahli keluarga yang menemani mereka.

“Kebanyakan mereka datang dari kawasan luar bandar dan mereka terpaksa bermalam di kawasan lapang dalam hospital tersebut kerana menunggu keluarga mereka yang sakit.

“Keadaan tersebut boleh diibaratkan sebagai tempat orang gelandangan kerana mereka tidak mampu tinggal di hotel bajet akibat kekangan kewangan,” ujarnya.

Lebih menyedihkan katanya, situasi berkenaan bukan sahaja berlaku di Hospital Miri tetapi juga di hospital lain di Sarawak.

Pada masa yang sama, bagi wanita yang bersalin pula, si suami terpaksa menunggu di luar bilik rawatan selama berhari-hari sementara menunggu isteri mereka bersalin.

“Tentu timbul masalah apabila ada wanita luar bandar terpaksa pergi ke bandar untuk bersalin bahkan perbelanjaan mereka juga kian bertambah jika mereka tinggal di hotel bajet dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri perlu menyediakan kemudahan yang lebih selesa bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga kepada ahli keluarga yang menemani mereka.