Tuesday, November 12

Jangan mudah termakan hasutan, dakyah pihak berkepentingan

0

KUCHING: Jangan mudah termakan hasutan dan dakyah pihak yang mempunyai kepentingan diri terutamanya yang hanya muncul pada musim pilihan raya, tegas ADUN Samariang Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali.

Menurutnya, kemajuan dinikmati merupakan hasil usaha kerajaan Barisan Nasional dalam membangun dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

“Saya menasihati, jangan mudah mendengar dakyah-dakyah pihak berkepentingan (pembangkang) kerana mereka hanya mahu memecah-belah perpaduan yang kita jalin selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Platun RELA Kampung Sungai Bedil Besar di sini malam kelmarin.

Hadir sama Penghulu Kampung Sungai Bedil Besar Ghani Murni Abon dan tetamu kehormat lain.

Tambahnya, jika rakyat mudah termakan janji-janji manis pihak tersebut maka perjalanan dalam memberi pembangunan di kawasan tertentu mungkin akan terganggu.

“Jadi teruskanlah menyokong kerajaan sedia ada (BN) yang banyak memberi kemajuan dan pembangunan untuk kita,” katanya.

Pada masa yang sama, Sharifah Hasidah turut memuji Koperasi Sungai Bedil Besar yang aktif mengadakan aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk di kampung itu.

“Terdapat banyak program yang akan dijalankan oleh koperasi kampung ini seperti ‘Lan Berambeh’ yang membuka peluang ekonomi penduduk di sini.

“Gunalah peluang ini untuk kita meningkatkan pendapatan selain mempromosikan kampung ini kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyeru agar pasukan RELA bersama-sama pihak berkuasa (polis) memantau keselamatan terutamanya dalam kampung.

“Tugas menjaga keselamatan bukan terletak di tangan pihak polis sahaja tetapi ia juga tangungjawab bersama (RELA dan penduduk kampung) dalam menangani masalah sosial terutama melibatkan golongan belia.

“Saya difahamkan ada segelintir belia di sini (Kampung Sungai Bedil Besar) terlibat dalam penjualan pil-pil haram, jadi sama-sama kita membanteras aktiviti tidak sihat ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar rakyat di negeri ini amnya terus menjaga perpaduan yang dikecapai sehingga kini.