Jangan mungkiri perjanjian projek usaha sama sawit

0

Masing

SIBU: Pemilik tanah adat di Kanowit yang memeterai perjanjian bersama dengan Boustead Holding Bhd dan Lembaga Kemajuan Tanah Perlindungan (LCDA) negeri pada 1996 bagi tujuan tanaman kelapa sawit semalam dinasihatkan jangan membatalkan perjanjian berkenaan.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing semasa memberikan nasihat tersebut berkata dari segi undang-undang perjanjian berkenaan masih lagi berkuat kuasa.

“Apabila menandatangninya anda mesti mematuhinya jika tidak penalti dikenakan ke atas anda, itulah aturannya,” kata beliau kepada Bernama sekembalinya dari Pakan kerana menghadiri satu majlis jamuan malam me-mungut derma malam kelmarin.

Satu laporan laman sesawang telah menyatakan kira-kira 160 pemilik tanah Iban di Kelimut dan Maong di Kanowit merancang membatalkan perjanjian yang berkuat kuasa 60 tahun itu kerana dikatakan tidak di-bayar dividen dan bonus se-perti dijadualkan.

Tambah laporan itu, pe- milik tanah berkenaan ingin menyaman Boustead, LCDA dan kerajaan negeri mengenai soal tersebut.

Boustead telah melaburkan kira-kira RM400 juta bagi projek tersebut yang merupakan projek komersial pertama yang membabitkan tanah adat.

Syarikat itu diperuntukkan 14,000 hektar untuk dimajukan.

Sehingga hari ini ia menanam dan memperoleh hasil daripada kawasan seluas lebih 10,000 hektar.

Dalam bulan Mac tahun ini, syarikat itu membayar dividen berjumlah RM3.37 juta kepada pemilik tanah daripada lebih 100 rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Cerita bahawa sesetengah daripada mereka mahu menarik diri daripada projek itu buat masa ini masih lagi merupakan khabar angin.

“Ia mungkin melibatkan sejumlah yang sedikit tetapi majoriti akan kekal. Walau apa pun, kita mesti mencari sebab mereka mahu menarik diri, apakah yang mereka tidak puas hati,” kata Masing.

Beliau mengingatkan pemilik tanah berkenaan bahawa LCDA telah membentangkan rang undang-undang baru-baru ini di dewan undangan negeri untuk menutup sebarang kepincangan supaya usaha sama tersebut terus stabil.

“Ia tidak baik untuk pihak pelabur yang telah membelanjakan berjuta-juta untuk tiba-tiba menghadapi keadaan pemilik tanah mahu mengundurkan diri.

“Bukan sahaja pemilik tanah boleh menyaman, pelabur, kerajaan juga boleh menyaman mereka kerana mungkir janji,” katanya.

Masing berkata pihaknya juga sedang mencari jalan dan cara untuk menjadikan projek itu yang dikenali sebagai Kanowit Oil Palm  Plantation (KOPP) supaya lebih menguntungkan.

“Kami masih lagi berusaha mencari kaedah, membuat perubahan yang perlu supaya semua pihak boleh terus maju ke depan,” katanya.

Di pihak lain katanya, kerajaan mengalu-alukan lebih ramai pemilik tanah adat sekarang ini menjadi pekebun kecil kelapa sawit.

Beliau bagaimanapun mencadangkan supaya Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) membenarkan kilang-kilang penapis minyak kecil didirikan di lebih banyak tempat supaya pekebun kecil dapat menjual segera hasil keluaran kelapa sawit mereka.

Katanya, satu lagi pilihan ialah supaya lembaga berkenaan mencari jalan memendekkan tempoh menunggu bagi pekebun kecil menjual hasil tandan buah segar mereka kepada kilang berhampiran. —Bernama