Thursday, September 19

Jenama politik DAP tidak mudah diterima penduduk luar bandar

0

SIBU: DAP tidak akan pergi jauh ke kawasan luar bandar untuk memperluas dan mengukuhkan sokongan bagi mencapai hasratnya mengambil alih kerajaan negeri, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing.

Beliau berkata ini kerana isu-isu yang dibangkitkan kebanya-kan berpusat di bandar di samping DAP tidak mampu menghadapi cabaran ke kawasan luar bandar atas faktor geografi.

“Jenama politik DAP, saya fikir tidak mudah diterima oleh kebanyakan penduduk luar bandar. Ini juga kerana kebanyakannya adalah berdasarkan tuduhan, tidak benar dan kritikan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

“Adalah senang untuk mengkritik… jadi sangat mudah tetapi mencari penyelesaian sangat susah. Hanya kerajaan pada hari ini yang ada penyelesaian kerana kita ada pihak berkuasa untuk lakukan.

“Walau apa pun keputusan Pilihan Raya Negeri lepas hendaklah sebagai petunjuk di mana pada amnya penduduk kawasan luar bandar di Sarawak menolak pembangkang,” kata beliau.

DAP Sarawak baru-baru ini menubuhkan sebuah jawatankuasa sementara di Kanowit dan berhasrat untuk ke Kapit dan bandar di kawasan luar bandar.

Masing yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Baleh di Kapit berkata ia mungkin mampu menarik beberapa cendekiawan Dayak yang pada dasarnya mengkritik kerajaan tetapi ramai lagi intelektual dengan Barisan Nasional (BN).

Mengenai persediaan PRS pada Pilihan Raya Umum akan datang, katanya beliau telah melawat Sri Aman, Lubok Antu dan Julau untuk mendapatkan pandangan lapangan terhadap wakil rakyat sekarang di kawasan pilihan raya itu.

“Dari mood mereka, saya boleh bayangkan PRS mampu mengekalkan semua kerusi itu.

Tetapi pastinya kita masih terlalu awal dan kita akan lihat apa akan berlaku sebelum saya buat cadangan terakhir.

“Saya setakat ini agak puas hati dengan pencapaian wakil rakyat kita William Nyalau Badak di Lubok Antu, Mesir Kujat di Sri Aman dan Datuk Joseph Salang di Julau,” katanya.

Masing dijadual melawat kawasan pilihan raya yang dipegang PRS iaitu Kanowit, Selangau dan Hulu Rajang tidak lama lagi. — Bernama