Liga Juara-Juara: United, Inter dan City perlu baiki prestasi

0

GIGIH BERLATIH: Pemain-pemain Manchester United (dari kiri) Park Ji-Sung, Dimitar Berbatov dan Michael Owen menjalani latihan di kompleks latihan Carrington, Manchester semalam. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Selepas prestasi yang tidak menentu pada perlawanan pembukaan, Manchester United, Manchester City dan Inter Milan harus meningkatkan rentak permainan pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara malam ini (awal pagi Rabu waktu Malaysia).

Walaupun ketiga-tiga kelab ini menyedari tiada kelab berjaya mempertahankan kejuaraan mereka sejak format liga Eropah diperkenalkan 20 tahun yang lalu, kebanyakan pemerhati bersetuju bahawa ia memerlukan satu kehebatan luar biasa untuk merampas kejuaraan dari tangan Barcelona musim ini.

Menumbangkan Barcelona sememangnya memerlukan satu peningkatan permainan buat United selepas seri di Benfica, City juga seri di tempat sendiri ketika menentang Napoli pada penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara dan Inter Milan dikejutkan oleh kelab Turki, Trabzonspor pada perlawanan pertama mereka.

City, berkongsi tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama United, jelas masih gemuruh pada penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara ketika menentang Napoli, yang mengikat City 1-1 di Stadium Etihad dan menyebabkan pengurus City, Roberto Mancini mengakui pasukan mahalnya gemuruh kerana ia adalah perlawanan pertama bagi mereka di pentas bola sepak berprestij kelab Eropah itu.

Sementara itu, Manchester United akan menentang kelab Switzerland, FC Basel tanpa penyerang sensasi mereka, Wayne Rooney.

Pengurus United, Sir Alex Ferguson menimbang untuk menurunkan jentera serangan terbaiknya dengan ketiadaan Rooney, selain menunggu berita keadaan kecederaan Javier Hernandez ketika seri 1-1 dengan Stoke City Sabtu lepas, sekali gus menamatkan permulaan cemerlang United dalam liga musim ini.

“Saya perlu menggilirkan pemain. Saya fikir ada perubahan Selasa ini,” kata Ferguson ketika memberitahu laman sesawang rasmi kelab.

Inter berharap mimpi ngeri mereka berakhir selepas pemecatan Gian Piero Gasperini dan melantik bekas jurulatih Chelsea dan Juventus, Claudio Ranieri.

Ranieri memulakan kerjaya beliau dengan kemenangan 3-1 di Bologna Sabtu lepas tetapi perancang utama, Wesley Sneijder, pemain pertahanan, Maicon dan pemain tengah, Dejan Stankovic tidak akan dapat diturunkan dalam aksi Kumpulan B menentang CSKA Moscow di Rusia. — AFP

 

JADUAL PERLAWANAN

 

SELASA

 

KUMPULAN A

Bayern lwn Man City

Napoli lwn Villarreal

 

KUMPULAN B

CSKA lwn Inter Milan

Trabzonspor lwn Lille

 

KUMPULAN C

Otelul Galati lwn Benfica

Man United lwn Basel

 

KUMPULAN D

Lyon lwn Dinamo

Real Madrid lwn Ajax