Manyin yakin tiga penyandang kerusi Parlimen Bidayuh kekal bertanding

0

TEBEDU: Dato Sri Michael Manyin Jawong yakin tiga penyandang kerusi Parlimen Bidayuh iaitu Serian, Mambong dan Mas Gading akan kekal bertanding dalam pilihan raya umum kelak.

“Saya percaya, tiada muka baru… ketiga-tiga kerusi ini amat selesa untuk dipertahankan oleh penyandangnya,” kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian cek pampasan tanah kepada penduduk di sini, semalam.

Tiga Ahli Parlimen yang dimaksudkan ialah Datuk Richard Riot (Serian), Datuk James Dawos Mamit (Mambong) dan Datuk Dr Tiki Lafe (Mas Gading).

Mengenai rombakan kabinet negeri akan datang, beliau berharap akan lebih ramai wakil Bidayuh diberi pengiktirafan.

“Saya berharap Bidayuh akan mendapat syer, tetapi ini bergantung kepada Ketua Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan rombakan kabinet kali ini tidak akan menyaksikan kejutan yang banyak.

Namun, beliau gembira kerana Bidayuh telah diberikan bonus melalui pelantikan ADUN Tarat Datuk Roland Sagah sebagai timbalan speaker DUN.