Tuesday, November 19

Najib lawat Lebuh Ampang sempena sambutan Deepavali pada 22 Okt

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan ke Lebuh Ampang dan kawasan sekitarnya di sini pada 22 Okt sempena sambutan Deepavali, menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M.Saravanan.

Beliau berkata lawatan lebih sejam Perdana Menteri yang dijadual bermula pukul pada pukul 4 petang, akan mendapat sambutan daripada lebih 10,000 penduduk di sekitar bandar raya ini.

Lawatan Najib ke kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat India akan turut memberi kesempatan kepada para peniaga dan masyarakat di kawasan itu untuk beramah mesra dengan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri juga akan mengambil kesempatan untuk makan muruku dan pelbagai lagi juadah tradisional masyarakat India semasa lawatan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Saravanan berkata lawatan Najib ke Lebuh Ampang bakal memberi kenangan manis kepada Perdana Menteri kerana beliau pernah melalui kawasan Lebuh Ampang untuk ke sekolahnya di Sekolah Kebangsaan St John 1, yang tidak jauh dari situ.

Selain Brickfields yang terkenal sebagai “Little India”, Lebuh Ampang juga merupakan sebuah kawasan perniagaan yang majoriti peniaganya adalah masyarakat India negara ini.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam ke Lebuh Ampang bagi mengelak kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar. — Bernama