Penerbangan Firefly di Kuching, Sibu dihentikan?

0

KUCHING: Ketua Biro Ekonomi Pemuda PBB Sarawak Abdul Aziz Adenan menyuarakan pertanyaan sama ada penerbangan Firefly di Kuching dan Sibu akan dihentikan atau sebaliknya. Beliau memberitahu, selepas dua bulan pengumuman pasukan pengurusan yang diketuai oleh Tan Sri Tony Fernandez selepas AirAsia mengambil alih pengurusan MAS.

“Kami ingin kemukakan soalan kepada Tan Sri Tony Fernandez sama ada pengurusan MAS yang dipengaruhi olehnya akan menghentikan semua penerbangan Firefly di Kuching dan Sibu.

“Saya bersama Yang Berhormat Datuk Amar Abang Johari Menteri Pelancongan Sarawak dan Badan Pelancongan BIMP-EAGA turut bimbang dengan pertukaran saham oleh Airasia dan MAS,” katanya menerusi kenyataan media di sini semalam.

Tambahnya, Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia Datuk James Dawos Mamit juga pernah menyatakan dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan bahawa kekurangan penerbangan ke Sarawak adalah penyebab utama pelancong tidak bertambah ke Sarawak.

Beliau bertanya: “Adakah Tan Sri Tony Fernandez telah mempengaruhi ‘pengurusan sementara’ MAS untuk menutup penerbangan Firefly di Sarawak dan memberi syarikat miliknya AirAsia monopoli dalam sektor kos rendah itu?

“Kalau benar Firefly dipaksa henti penerbangan mereka ke Sarawak maka ia bukan sahaja memerosotkan lagi pelancongan Sarawak tetapi juga membuatkan rakyat berpendapatan rendah Sarawak terpaksa beli tiket AirAsia.

“Saya harap Tan Sri Tony Fernandez dapat memberi penjelasan,” ujarnya.