Friday, October 29

Pergerakan pengakap membentuk peribadi pelajar secara seimbang

0

RASMI: Pau (empat kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Majlis Makan Malam Amal Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Bintulu malam kelmarin sambil disaksikan oleh (dari kanan) Janudin, Pandi, Abdul Muin, Dr Francis dan yang lain.

BINTULU: Penglibatan para pelajar dalam pergerakan pengakap amat bermakna dalam usaha membentuk peribadi mereka secara seimbang dalam bidang akademik dan kegiatan luar bilik darjah.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Bintulu merangkap Penolong Pesuruhjaya Pengakap Kawasan Bintulu Abdul Muin Abdul Kassim berkata, di samping dididik secara formal di sekolah para pelajar juga turut dibawa terlibat dalam kegiatan tidak formal dalam gerakan unit-unit beruniform.

“Satu daripada unit beruniform itu ialah pergerakan pengakap. Kegiatan-kegiatan unit beruniform dan kokurikulum di sekolah di samping kegiatan akademik yang melibatkan para pelajar perlu disokong dalam usaha membentuk generasi pelajar yang bakal menjadi pemimpin masa depan,” ujarnya berucap di Majlis Makan Malam Amal Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Bintulu di Hotel ParkCity Everly malam kelmarin.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung.

Turut hadir Pemanca merangkap Pengerusi Pengakap Kelana Daerah Bintulu Dr Francis Toh, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa

Penganjur Janudin Ab Rahman dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak merangkap Naib Ketua Pemuda PBB Negeri Pandi Suhaili.

Abdul Muin berharap lebih banyak aktiviti kepengakapan diadakan di peringkat sekolah kerana ia memberi makna yang besar kepada para pelajar.

Sementara itu Janudin berkata, majlis itu diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu menjayakan segala aktiviti pengakap.

“Antara aktiviti terbaru adalah untuk menghantar 32 ahli dan pemimpin Pengakap Bintulu yang mewakili Sarawak ke Jamboree Antarabangsa Ke-12 di Terengganu pada hujung bulan November nanti,” jelasnya.

Justeru katanya, peluang bagi penganjuran majlis ini perlu diambil dan ia adalah usaha kami mengumpul dana untuk membantu penghantaran ahli pengakap ke Jamboree Antarabangsa Ke-12 itu.

Dalam majlis makan malam amal itu Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menyumbang RM5,000 untuk Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Bintulu. Majlis itu turut dihadiri oleh ahli pengakap, pemimpin dan guru-guru dari daerah Tatau dan Sebauh.