Projek paip gas untungkan penduduk luar bandar

0

KUCHING: Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) yang menelan belanja RM4.6 bilion, akan menjana pelbagai hasil ekonomi sampingan kepada penduduk kedua-dua negeri itu termasuk kepada mereka yang di luar bandar, kata seorang ahli akademik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menjalankan kajian sosial mengenai projek itu.

Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Sumber Manusia Dr Shahren Ahmad Zaidi Adruce berkata projek SSGP itu yang dibina oleh Petronas akan meng-hasilkan banyak aktiviti ekonomi baru di kawasan luar bandar.

Saluran paip sejauh 512km itu dari Kimanis di Sabah ke kompleks gas cecair asli di Bintulu akan siap penghujung 2013.

Shahren berkata pembinaan saluran paip itu bermakna penduduk di sepanjang laluannya akan menikmati banyak peluang pekerjaan.

Pada masa yang sama, ia akan mewujudkan kemudahan asas seperti jalan raya dan telekomunikasi di kawasan-kawasan luar bandar.

Hasil sampingan SSGP menyerupai manfaat yang wujud daripada pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan di Semenanjung Malaysia khususnya pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infra-struktur dan teknologi bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Mereka yang tinggal dalam lingkungan tiga kilometer dari saluran paip itu akan menikmati manfaat yang lebih.

“Projek ini membawa banyak perubahan kepada kawasan pedalaman terutamanya daripada segi infrastruktur bagi memenuhi keperluan asas penduduk dan meningkatkan taraf hidup mereka,” kata Shahren, yang mengetuai satu kajian kesan terhadap masyarakat yang tinggal berdekatan saluran paip itu yang meliputi Bintulu melalui Miri, Limbang, Lawas ke Kimanis di Sabah.

Kajian yang dimulakan pada 2007 ditumpukan pada 48 kawasan penempatan selain melibatkan input daripada pertubuhan bukan kerajaan.

Shahren berkata bahawa satu ketika beberapa penduduk peribumi tidak me-nyokong SSGP tetapi kemudiannya menukar fikiran selepas mereka mendapati Petronas tidak mencerobohi kawasan-kawasan sensitif.

“Beberapa kawasan sangat suci kepada penduduk tempatan. Saya yakin Petronas dan kerajaan negeri mengambil kira perkara ini.

“Namun, secara keseluruhannya, penduduk di sepanjang saluran paip itu memberi sokongan positif kepada projek ini,” kata Shahren.

SSGP adalah sebahagian daripada Projek Bersepadu Minyak dan Gas Petronas bagi mendapatkan sumber minyak dan gas dari kawasan-kawasan di Sabah dan Sara-wak. — Bernama