Ramah-tamah Aidilfitri memberi semangat baru jaga silaturahim

0

DANA KHAS: Nancy menyampaikan dana MRP kepada salah seorang penerima sambil ditemani Aidel (dua kiri) dan Rubiah (kanan).

SADONG JAYA: Usaha murni penduduk kampung dan pemimpin masyarakat menganjurkan Ramah-tamah Aidilfitri dilihat dapat memberi semangat baru dalam menjaga silaturahim di kalangan penduduk dan pemimpin masyarakat.

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata majlis seperti itu merupakan platform terbaik untuk mendekatkan diri dengan rakyat di negeri ini khususnya di kawasannya.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk di Sadong Jaya kerana menjayakan majlis yang baik seperti ini.

“Bukan sahaja kita dapat bertemu malah dapat berkongsi dan membincangkan masalah yang dihadapi penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri bersama pemimpin masyarakat dan penduduk kampung di kawasan Sadong Jaya kelmarin.

Majlis itu merupakan julung kali dijalankan secara serentak pada hari yang sama di seluruh kampung yang melibatkan 18 kampung di kawasan Sadong Jaya.

Pada masa yang sama beliau menasihati penduduk agar menggunakan saluran yang betul dalam mengadu masalah tertentu.

Jelasnya, ia penting bagi mengelakkan masalah tersebut diputar belit dan berlarutan tanpa jalan penyelesaikan yang betul.

“Kita harus sentiasa bersama dalam menangani pelbagai masalah dan membincangkannya menerusi saluran yang betul supaya ia dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Tambahnya, semua masalah harus diutarakan dengan cara berhemah dan berkesan agar dapat memuaskan keperluan semua pihak.

Pada majlis berasingan Nancy turut menyerahkan sebahagian dana projek kecil luar bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan pemimpin masyarakat serta menyerahkan beberapa komputer riba 1Malaysia kepada PIBG sekolah di sekitar daerah Sadong Jaya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang, Pegawai Tadbir Daerah Sadong Jaya Zainap Halip dan tetamu hormat lain.