Sarawak tetap mahu menang

1

KUCHING: Kemenangan ke atas Felda United dalam aksi Piala Malaysia 2011 di Stadium Negeri, di sini pada malam Sabtu lalu ternyata memberi semangat baru buat pasukan Sarawak.

Justeru, pertemuan terakhir menentang Johor FC di Stadium Pasir Gudang, Johor malam ini tetap menjanjikan saingan menarik buat kedua-dua pasukan.

Sarawak dan Johor FC masing-masing sudahpun terkeluar daripada perebutan tempat ke suku akhir apabila kedua-dua pasukan menduduki tangga ketiga dan keempat.

Dua pasukan teratas dalam Kumpulan C iaitu Kelantan dan Felda United masing-masing telah mengesahkan tempat ke suku akhir.

Meskipun Felda United kecundang di pangkuan Sarawak malam Sabtu lalu, namun tidak mampu mengubahkan kedudukan mereka.

Manakala Kelantan pula yang mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Johor FC pada malam Sabtu lalu selesa menduduki tangga teratas dengan mengumpul 10 mata untuk berkongsi mata dengan Felda United.

“Kita tetap memburu kemenangan mutlak menentang Johor FC di halaman lawan esok bagi memintas pasukan terbabit untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan C,” kata penolong jurulatih Sarawak, Mohd Farhan Abdullah semalam.

Menurut Farhan, tiada rombakan berlaku dalam skuad negeri ketika menjadi tetamu Johor FC malam ini.

“Semua pemain dalam situasi yang baik dan saya yakin mereka mampu menyajikan persembahan menarik dalam perlawanan terakhir ini,” katanya bersemangat.