Tuesday, August 9

Vettel di ambang kejuaraan dunia

0

MILIKKU: Pemandu Red Bull, Sebastian Vettel mengucup trofi kemenangannya di atas podium setelah memenangi Grand Prix F1 Singapura di Singapura pada ma-lam kelmarin. — Gambar AFP

Satu lagi mata diperlukan bagi muncul juara selepas menang di Singapura

SINGAPURA: Sebastian Vettel terus menguasai saingan Formula Satu (F1) Ahad lepas apabila memenangi perlumbaan Grand Prix Singapura dan hanya kurang satu mata untuk menjadi juara dunia berganda paling muda dalam sejarah F1.

Pemandu berusia 24 tahun dari Jerman itu, yang juga juara bertahan dan pendahulu kategori pemandu musim ini, memandu cemerlang dari petak pertama sehingga ke garisan penamat bersama kereta Red Bull.

Beliau memenangi perlumbaan malam di Litar Marina Bay dengan kelebihan 1.7 saat di hadapan pencabar terdekatnya, Jenson Button.

Button, yang memandu untuk pasukan McLaren, mengembalikan saingan kejuaraan dunia dengan berbaki lima perlumbaan sahaja lagi sementara rakan sepasukan Vettel, Mark Webber menduduki tempat ketiga.

Vettel sekarang hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan dunia yang kedua berturut-turut dan hanya boleh ditewaskan jika Button memenangi kesemua baki perlumbaan dan mengharapkan Vettel gagal mengutip sebarang mata, sesuatu yang sememangnya sukar dibayangkan.

Dengan perlumbaan seterusnya di Grand Prix Jepun (9 Oktober), ada peluang untuk Vettel mengesahkan kejuaraannya dan mencipta sejarah di Litar Suzuka.

“Sememangnya saya berasa amat gembira dengan keputusan ini dan kereta cukup hebat bagi saya sepanjang perlumbaan. Saya berjaya menjarakkan diri dengan mudah pada awal perlumbaan dan juga mencatatkan masa yang pantas tetapi (kehadiran) kereta keselamatan sememangnya bukan dalam perancangan kami,” kata Vettel.

“Saya bernasib baik untuk mempunyai permulaan kedua yang baik dan dapat mencari rentak dengan segera dan menjarakkan kedudukan di sebalik kesesakan.

“Saya mengawal perlumbaan sehingga ke akhirnya dan ia satu perasaan yang hebat untuk memenangi perlumbaan ini – saya menyukai litar di sini dan ia satu cabaran.

“Dan bagi kejuaraan dunia, saya fikir saya mempunyai satu lagi peluang pada perlumbaan seterusnya.”

Button mendedahkan kekecewaannya dengan pemandu yang perlahan dan juga keadaan yang begitu sukar untuk memotong.

“Saya boleh faham bahawa ia sukar untuk memotong di sini dan ramai orang bersaing dalam litar tetapi pemandu perlahan harus menghormati bahawa kereta lain memotong untuk satu sebab,” kata Button, yang muncul juara dunia pada 2009.

“Saya merasakan saya dapat menghasilkan yang terbaik dari kereta saya, terutama sekali pada akhir perlumbaan tetapi ia tidak cukup bagus untuk menang hari ini namun ia adalah sesuatu yang boleh diteruskan.”

Juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari pasukan Ferrari, yang perlu menaiki podium untuk menghidupkan peluang beliau untuk memenangi kejuaraan dunia, hanya menduduki tempat keempat, di hadapan pemandu kedua McLaren, Lewis Hamilton.

Hamilton mempamerkan pemanduan hebat termasuk lima hentian pit, satu pelanggaran dan satu kesungguhan memotong dari kedudukan ke-16.

Paul Di Resta menduduki tempat keenam untuk pasukan Force India, pencapaian terbaik beliau setakat ini pada musim baru dalam F1, di hadapan pemandu Mercedes, Nico Rosberg dan seorang lagi pemandu Force India, Adrian Sutil.

Rakan sepasukan Alonso, Felipe Massa, yang menjadi mangsa satu pelanggaran dengan Hamilton pada awal perlumbaan, menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dan Sergio Perez melengkapkan senarai 10 pemandu teratas.

Ia adalah kemenangan kesembilan Vettel musim ini dan yang ke-19 sepanjang kerjayanya. Kejayaan beliau di sini diwarnai dengan percikan bunga api yang menerangi ibu kota Singapura. — AFP