Betis tewas jua akhirnya

0

MADRID, Sepanyol: Pendatang baru liga, Real Betis akhirnya kehilangan rekod bersih dalam La Liga Sepanyol apabila ditewaskan oleh pasukan tercorot Getafe 1-0 Isnin lepas (awal pagi Selasa waktu Malaysia) tetapi masih kekal di tangga teratas liga untuk kemungkinan satu minggu lagi.

Getafe memulakan perlawanan di tangga ke-19 liga dengan hanya satu mata dari empat perlawanan pertama tetapi jurulatih baru, Luis Garcia memperolehi kemenangan pertama apabila Diego Castro menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-31.

Penjaga gol Getafe, Miguel Angel Moya berjaya mengekang asakan demi asakan Betis, terutama sekali selepas rehat tetapi gagal. Namun demikian, Betis masih kekal di tangga teratas dengan mengumpul 12 mata dari lima perlawanan.

Mereka berada satu mata di hadapan Barcelona, Levante dan Sevilla, yang terikat 11 mata. Barca membelasah Atletico Madrid 5-0 Sabtu lepas sementara Real Madrid membelasah Rayo Vallecano 6-2. — Reuters