David Arumugam akan buat penampilan istimewa pada malam Deepavali

0

ARUMUGAM

KUCHING: Artis veteran terkenal Datuk David Arumugam daripada kumpulan Alleycats akan membuat penampilan istimewa pada malam Deepavali November depan.

Penyanyi yang terkenal dengan fesyen rambut afronya dan perkataan ‘Terima Kasih’ bakal menemui peminatnya pada majlis makan malam sempena Deepavali 2011, 6 November depan di Dewan Suarah Kuching di sini.

Majlis tersebut merupakan anjuran Persatuan India Kuching bagi meraikan perayaan Deepavali di kalangan penganut Hindu di seluruh dunia yang jatuh pada 26 Oktober depan.

Menurut jurucakap majlis, acara utama pada tahun ini ialah penampilan khas penyanyi kelahiran Pulau Pinang yang terkenal dengan lagu ‘Jika Kau Bercinta Lagi’ dan ‘Senandung Semalam’ yang menjadi kegilaan peminat muzik Malaysia.

Pada majlis itu kelak, penganjur turut akan menyampaikan anugerah pendidikan kepada anak-anak ahli yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam 2010.

Dalam pada itu tiket kini dibuka untuk dijual pada kadar RM50, RM100 dan RM200 seorang.

Mereka yang berminat mendapatkan tiket makan malam sila hubungi Kaunselor Anthony Ramanair di talian 019-809 5288, T. Ganesan (019-818 4178) atau Ratna Perumall (019-828 5891).