Kerjasama permudah interaksi jaga sempadan

0

SELAMAT BERLATIH: Abdul Aziz memakaikan lilitan lengan kepada Mejar Amrul Mohd Sani selaku salah seorang ketua pasukan dalam Eksesais MALBRU Setia Siri 10/2011 sambil disaksikan Zaki (kiri).

Tentera Malaysia dan Brunei digesa agar ambil peluang eksesais untuk kepentingan ketenteraan

MIRI: Kerjasama yang utuh di antara pasukan Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) dan Batalion Ke-3 Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) harus ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk memudahkan kedua-dua pihak berinteraksi dalam menjaga sempadan negara.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, perkara ini penting kerana negara Brunei Darussalam dan Miri adalah bersempadanan.

“Justeru, saya menyeru semua anggota yang ikut serta dalam eksesais ini agar dapat mempergunakan peluang yang ada dengan sebaiknya untuk saling mengenali dan berbincang perkara-perkara penting yang menjurus kepada kepentingan kerjasama dalam bidang ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Eksesais MALBRU Setia Siri 10/2011 yang berlangsung di padang kawat Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri di sini pagi semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Staf Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) Leftenan Kolonel Abdul Aziz Abdul Rahman.

Menurut Zaki, Eksesais Malbru (Malaysia-Brunei) ini yang dianjurkan secara bergilir-gilir oleh pihak 20 RAMD dan Batalion Ke-3 Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) adalah ber-konsepkan operasi ofensif di dalam peperangan konvensional yang melibatkan satu batalion infantri yang menggabungkan kedua-dua pasukan itu.

“Peluang ini haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh kedua-dua belah pihak bagi meningkatkan kemampuan dalam profesion ketenteraan dalam konteks kerjasama mengawal sempadan,” tegas beliau.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua anggota yang terlibat memperluaskan skop peningkatan mutu profesionalisme masing-masing dari segi perancangan, pengurusan, kesesuaian protap, sistem komunikasi, kepimpinan dan penggunaan aset-aset yang dibekalkan.

“Melalui cara sebegini, nescaya semua anggota yang terlibat dalam eksesais kali ini akan dapat membangunkan keupayaan tentera darat di kedua-dua negara,” ujar beliau lagi.

Menurut Zaki, Eksesais MALBRU Setia Siri 10/2011 yang bermula semalam akan berakhir pada 6 Oktober ini dengan Jalan Persisir Pantai dari Miri hingga ke Bintulu sebagai paksi mara.

Sementara itu, seramai 21 orang pegawai dan 394 orang anggota lain-lain pangkat dari 20 RAMD, Batalion ke-3 Tentera Darat Diraja Brunei dan Askar Wataniah 510 dengan diketuai Mejar Mohd Daud selaku ketua perbarisan telah terlibat dalam perbarisan sempena pembukaan eksesais berkenaan pagi semalam.