Mata tepis sentimen berdepan bekas rakan sepasukan

0

JUAN MATA

VALENCIA, Sepanyol: Pemain sayap Chelsea, Juan Mata akan mengenepikan sebarang sentimen di sini malam ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia) dalam usaha menewaskan bekas rakan-rakan sepasukannya di Valencia dalam Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 23 tahun itu berpindah ke Stamford Bridge pada bulan Ogos dan merupakan pemain mahal terbaru dibeli oleh Chelsea dalam usaha untuk memburu kejuaraan Eropah musim ini.

Mereka hanya tidak bernasib baik tidak memenanginya pada final 2008 apabila kapten pasukan, John Terry gagal melakukan tendangan dan sejak itu, trofi kejohanan ini dilihat sebagai satu ketaksuban oleh ‘The Blues’.

Mata akan berhadapan pasukan yang cukup dikenalinya berbanding pemain-pemain lain di Chelsea selepas menghabiskan empat tahun terakhir di Mestalla.

“Ia pastinya satu perlawanan yang istimewa bagi saya dan walaupun saya mengharungi tempoh yang hebat di sana, apa yang penting bagi saya sekarang adalah Chelsea dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk kelab saya,” kata Mata.

Pengurus Chelsea, Andres Villas-Boas tidak percaya pasukannya akan berasa letih selepas bermain dua perlawanan terakhir dengan 10 pemain pada akhir perlawanan.

“Ia seharusnya okay dan tiada apa yang membimbangkan kerana kami masih mengharungi awal musim,” kata beliau selain mengakui pemilihan pasukannya Sabtu lepas menentang Swansea, di mana beliau menyenaraikan bintang tengah Frank Lampard di bangku simpanan, adalah kerana perlawanan ini.

“Kami menurunkan sembilan pemain yang begitu cergas ke dalam padang yang tidak akan bermain hari Rabu dan saya fikir ia adalah penting.”

Chelsea setakat ini masih mendahului kedudukan Kumpulan E ekoran kemenangan ke atas Bayer Leverkusen sementara Valencia hanya seri di Genk.

Kepulangan Mata ke Valencia menjadi tajuk utama di Sepanyol dan bekas rakan sebilik beliau, Pablo Hernandez tidak sabar menantikan perlawanan tersebut.

“Dalam padang, anda tidak ada ramai rakan dan semua pemain bersaing untuk pasukan mereka sendiri dan kami akan cuba untuk menewaskan Chelsea,” kata Hernandez.

“Saya masih bercakap dengan Mata dan ia pastinya menarik bermain menentang beliau pada perlawanan seperti Liga Juara-Juara.” — AFP