Perselisihan faham agama perlu diselesai menerusi perbincangan

0

GUNA DENGAN BAIK: Jelaing (tengah) menyerahkan cek MRP kepada Rev Winston Sokim pada majlis itu. Turut kelihatan, Dr Rayong (kanan) dan Nyalau (dua kiri).

ENGKILILI: Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat menggesa rakyat supaya menyelesaikan segera perselisihan faham antara agama menerusi perbicangan.

Menuruntnya, agama boleh memainkan peranan dalam mewujudkan kesejahteraan dan keamanan dalam negara ini selagi para penganutnya mengamalkan sikap toleransi di antara satu sama yang lain.

Beliau berkata, jangan perbesarkan perselisihan faham yang berlaku memandangkan tindakan seperti itu hanya akan mencetuskan huru-hara dalam kalangan rakyat.

“Jadi lebih baik dua pihak terbabit saling bekerjasama untuk memajukan institusi keagamaan masing-masing demi untuk kebaikan semua,”katanya.

Jelaing yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau sempena dengan Upacara Betetap 2011 di Gereja St Michael’s Parish, Engkilili, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Jelaing turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM30,000 kepada Gereja St Michael’s Parish, Engkilili.

Justeru, Jelaing berharap agar para penganut berlainan agama di negara ini mengamalkan sikap bertimbang rasa dan saling hormat-menghormati antara satu sama yang lain demi kebaikan semua.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa dan Right Reverend Bishop Aries Sumping Jingan.