Tindakan bendung fitnah, hasutan

1

ERAT HUBUNGAN: Hasbi (dua kanan) bersama ketua-ketua jabatan kerajaan di Wisma Persekutuan di Limbang, semalam.

Hasbi selar usaha pihak berkepentingan cuba jejas perpaduan rakyat

LIMBANG: Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung sebarang usaha mencetuskan huru-hara dalam kalangan penduduk di sini, termasuk fitnah dan hasutan yang merugikan rakyat Limbang.

Sambil menyelar tindakan tidak bertanggungjawab itu, beliau berkata akan sedaya upaya untuk mempertahankan keharmonian dan perpaduan kaum yang dinikmati hari ini.

Menurut beliau, usaha itu dilakukan dengan agenda dan kepentingan politik dan peribadi tanpa memikirkan kesan buruk yang akan dirasai generasi akan datang.

“Saya tidak rela apa jua usaha dan tujuan tidak baik untuk mencucuk dan mengapi-apikan rakyat di sini dengan melemparkan fitnah dan hasutan.

“Sebagai wakil rakyat di sini, saya akan sedaya upaya untuk membendungnya mengikut kemampuan agar ia tidak menghancurkan perpaduan yang dikecapi,” katanya pada Ramah-tamah Aidilfitri Wisma Persekutuan semalam.

Turut sama ialah Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Sufian Mohat, ketua-ketua kerajaan dan kakitangan kerajaan di Wisma Persekutuan di sini.

Hasbi berkata, perbuatan tersebut dapat diatasi sekiranya rakyat sentiasa bekerjasama dengan pemimpin.

“Rakyat juga harus menolak segala hasutan dan fitnah yang sering dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sebalikknya, jelasnya, rakyat khususnya di kawasan pedalaman perlu membezakan perkara yang baik dan buruk.

“Lebih-lebih lagi, perkara yang boleh menghancurkan perpaduan yang kita nikmati. Semua ini dapat dielakkan dengan menolak segala hasutan pihak terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyelar sikap segelintir inidividu seperti parasit yang boleh merosakkan kualiti kerja kerana tidak menjalankan tugas dan amanah dengan sempurna.

“Mereka ini tidak ubah seperti kerana nila setitik rosak susu sebelanga sehingga menjejaskan imej jabatan.

“Seharusnya sebagai ejen pelaksana, mereka perlu menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan mengutamakan pencapaian termasuk menyampaikan polisi dan dasar kerajaan,” jelasnya.

Hasbi mahu kakitangan kerajaan dan swasta bersama berganding mahu menjalankan tugas dan peranan sebagai ejen pelaksana dengan sebaiknya.

Katanya lagi, segala dasar dan polisi kerajaan wajar disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat termasuk diperingkat akar umbi.