Kokurikulum asah kemahiran generik

0

TAHNIAH: Abdillah (kanan) menyematkan pangkat komandan kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua, Ling Chai Ping.

Ia melengkapi kitaran pendidikan melibatkan domain kognitif, afektif, psikomotor iaitu wadah bagi bina jasmani, emosi, rohani, intelek, sosial

SIBU: Penekanan terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum merupakan satu kaedah berkesan dalam usaha mengasah kemahiran generik di kalangan pelajar.

Pengarah Pelajaran Negeri Abdillah Adam berkata, aktiviti kokurikulum menjadi pelengkap kepada kitaran pendidikan yang melibatkan domain kognitif, afektif dan psikomotor yang merupakan wadah bagi pembinaan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

“Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan dapat menerapkan banyak elemen penting seperti disiplin diri, kepimpinan, keusahawan, kreativiti, inovasi dan kecintaan terhadap alam semula jadi,” jelasnya.

Abdillah berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pentauliahan Pangkat Komandan dan Timbalan Komandan Kadet Remaja Sekolah (KRS)/Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Sekolah Menengah dan Rendah Peringkat Daerah Sibu di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sibu Wong Chong Kung, Timbalan Pegawai PPD Sibu Ahli Chikba, Ketua Unit Kokurikulum PPD Lim Chun Len dan Pengelola KRS Negeri Apo Latit.

Katanya, penubuhan pasukan KRS dan TKRS di bawah naugan Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai keunikan dan konsep falsafahnya tersendiri yang membezakan pasukan itu daripada pasukan beruniform yang lain.

“Pelajar-pelajar yang menganggotai pasukan ini bukan sahaja dibangunkan daripada aspek jasmaninya melalui kegiatan-kegiatan yang mencabar, inteleknya melalui kegiatan-kegiatan kreatif bahkan juga jiwa dan rohaninya melalui amalan langsung ibadah khusus dan umum,” ujarnya yang juga pengarah KRS Negeri.

Di peringkat pelaksanaannya pula katanya, pengetua, guru besar dan guru adalah orang yang menjadi nadi penggerak kepada pasukan KRS/TKRS yang harus menyumbang bakti yang tidak berbelah bahagi dengan menggarap unsur-unsur latihan fizikal dan nilai-nilai kerohanian yang dilaksanakan secara bersepadu.

“Melalui usaha ini, diharapkan pihak yang terlibat dalam pengedalian pasukan KR /TKRS dapat melakukan pengubahsuaian, bertepatan dengan tahap pelajar dan fasiliti yang terdapat di sekolah masing-masing berlandaskan konsep, falsafah, matlamat dan peraturan KRS/TKRS,” katanya.

Abdillah berkata, matlamat dasar pendidikan negara dan pelan induk pembangunan pendidikan ada menyentuh beberapa perkara penting iaitu mewujudkan satu bangsa yang bercorak Malaysia yang bersatu dan dihormati serta soal pembangunan modal insan.

“Hasrat ini akan tercapai jika generasi muda sekarang dapat diberi pendidikan yang seimbang dan sempurna yang memberi penekanan kepada aspek-aspek akademik dan kokurikulum,” katanya.

Seramai 64 pengetua, guru besar dan penolong kanan kokurikulum sekolah menengah dan rendah di daerah Sibu menerima pentauliahan pangkat komandan dan timbalan komandan KRS/TKRS.