Permintaan ayam melebihi bekalan

0

Wong Gin Gin

Musim perayaan silih berganti faktor bekalan daging ayam berkurangan

SIBU: Musim perayaan yang silih berganti dikatakan menjadi sebab bekalan daging ayam terutama sayap ayam berkurangan di pasaran, sehingga harga sayap ayam kini mencecah RM16 sekilogram di Kapit.

Setiausaha Persatuan Penternak Sibu Wong Gin Gin berkata, memandangkan Hari Raya dan Pesta Kuih Bulan yang diraikan hampir serentak menyebabkan permintaan terhadap daging ayam melebihi bekalan.

“Meskipun harga sayap ayam mencecah RM16 sekilogram, bekalan sukar diperolehi. Peniaga telah berusaha untuk mendapatkan bekalan namun tidak berjaya,” ujar Wong kepada pemberita semalam ketika ditanya berhubung sebab kekurangan bekalan.

Di samping itu menurut Wong, Gawai Dayak yang disambut beberapa bulan lepas juga menyaksikan permintaan tinggi terhadap daging ayam.

“Penternak telah berusaha memenuhi permintaan. Namun kita juga harus sedar anak ayam memerlukan masa untuk membesar.

“Tahun ini, Hari Raya disambut lebih awal dan hampir diraikan serentak dengan Pesta Kuih Bulan. Oleh itu, senario permintaan terhadap daging ayam tahun ini berbeza dengan tahun lepas,” jelas beliau.

Wong juga tidak menolak kemungkinan penternak mengurangkan jumlah ternakan mereka berikutan harga bahan makanan ayam yang semakin mahal, dalam usaha mereka mengurangkan kos.

“Harga makanan ayam telah naik empat kali tahun ini dan bagi seguni 50 kilogram, berharga antara RM90 dan RM100. Ini jauh berbeza berbanding sebelum ini apabila harga seguni makanan ayam hanya RM46.

“Mungkin disebabkan tekanan harga ini, penternak telah mengurangkan ternakan mereka yang kemudian menyebabkan bekalan ayam pun kurang,” tambah beliau.

Sementara Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman ketika dihubungi memberitahu, musim perayaan yang silih berganti telah menjejaskan bekalan ayam di pasaran.

“Saya percaya ini mungkin sebab utama kerana tempoh masa yang agak singkat bagi kita mendapatkan bekalan ayam yang baru iaitu 45 hari,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, bekalan ayam dijangka kembali stabil pada pertengahan bulan depan.

Menyentuh mengenai harga ayam yang agak tinggi, Wan Uzir memberitahu daging ayam hanya menjadi barang kawalan pada musim perayaan.

“Namun jika peniaga mengenakan harga yang tidak munasabah, kami akan menyiasat dan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010,” tambah beliau.