Pusat keagamaan tidak harus dijadikan lokasi berpolitik: Rayong

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, pusat keagamaan seperti gereja tidak harus dijadikan sebagai lokasi untuk berpolitik.

Sebaliknya gereja merupakan tempat untuk penganutnya melaksanakan ibadat sembahyang serta mengeratkan lagi silaturahim antara sesama mereka sendiri.

“Gereja merupakan pusat untuk penganut bersembahyang kepada Tuhan dan ‘begulai sejalai’ sesama anda semua dan hormatilah pusat keagamaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis merarau sempena Upacara Betetap 2011 di Gereja Saint Michael’s Parish, Engkilili, baru-baru.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Jelaing Mersat.

Dalam majlis itu, Dr Rayong menyampaikan cek MRP RM21,000 bagi membantu memajukan Gereja St Michael’s Engkilili dan enam chapel di daerah kecil Engkilili.

Biro Wanita St Michael Engkilili menerima RM5,000 dan Pemudanya RM2,000, Persatuan Lr. Reader Gereja itu RM1,000 manakala enam chapel iaitu Serubah, Telenting, Kumpang Pauh, Sayat, Ensurai dan Sipalau masing-masing menerima RM2,000.
Sementara itu Dr Rayong mengajak rakyat di DUN Engkilili agar memberi sokongan padu kepada Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Nyalau adalah wakil rakyat yang amat senang untuk bekerjasama serta berbincang maka beri sokongan kepadanya pada pilihan raya nanti yang akan diadakan bila-bila masa sahaja,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu Nyalau dan Right Reverend Bishop Aries Sumping Jingan.