Sikap positif bantu kejayaan

0

GERAN: Alexander (tengah) menyerahkan geran kepada Lee See Fong, sambil disaksikan yang lain.

Usaha gigih, amalan berjimat cermat penjaja di Kapit bantu mereka berjaya suatu hari nanti, kata Alexander

KAPIT: Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun golongan penjaja sedikit dan hanya berniaga secara kecil-kecilan, namun usaha gigih dan amalan berjimat cermat yang diamalkan membantu mereka berjaya suatu hari nanti.

“Sikap yang positif seperti berjimat cermat dan rajin membolehkan para penjaja menyimpan modal untuk membesarkan lagi perniagaan mereka.

“Dan kini, Persatuan Penjaja Kapit (KHA) ingin membeli lot kedai mereka sendiri.

“Ternyata penjaja di Kapit berjaya menguruskan perniagaan mereka dengan baik,” katanya semasa menghadiri Majlis Makan Malam Persatuan Penjaja Kapit dan Persatuan Kwang Tung Kapit, di sini baru-baru ini.

Alexander dalam pada itu berkata, beliau memahami masalah ketiadaan tempat untuk berjaja.

“Saya sudah berbincang dengan wakil Majlis Daerah Kapit, mengenai cara terbaik untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Alexander mengucapkan terima kasih atas kerjasama serta sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan agensi kerajaan serta ketua-ketua kaum dan masyarakat dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Sokongan dan kerjasama daripada semua pihak memudahkan tugas saya sebagai wakil rakyat di sini untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua.

“Maklum balas daripada anda semua memudahkan saya melakukan sebarang perancangan dan tindakan susulan berhubung sebarang masalah yang dihadapi anda semua,” katanya.

Alexander turut menyampaikan geran berjumlah RM10,000 kepada KHA, RM8,000 untuk Persatuan Kwang Tung Kapit, Zhang Clan (RM6,000), Persatuan Tai San Ten (RM10,000), Persatuan Foochow (RM5,000), Gereja Methodist Hock Ing (RM10,000) dan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 untuk Pemuda Foochow menganjurkan Pertandingan Badminton 1Malaysia, pada 3 Oktober, di Stadium Tertutup Bletih.

Hadir sama Pegawai Daerah Kapit Simon Japut Tiok dan isteri, Ellen Nicholas, Penyelia KEMAS Ambrose Abong Bugek, Temenggung Lau Kah Kee, Kapitan Yong Thu Foo, Pengerusi KHA Kong Siau Kui dan Pengerusi Persatuan Kwang Tung Lee See Fong.