Cina tidak perlu sedih: Dr Chan

2

Beliau percaya jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan jadi milik SUPP semula

Dr Chan

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan percaya jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan menjadi     milik parti itu semula.

Dr Chan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata tidak ada makna SUPP dan kaum Cina sedih berikutan mereka ‘kehilangan’ jawatan berkenaan dalam kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kelmarin.

“Keputusan itu merupakan budi bicara Ketua Menteri. Sudah tentu tidak semua pihak puas hati, jika ini berlaku sudah pasti kita sekarang berada di syurga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dr Chan yang tewas dalam mempertahankan kerusi DUN Piasau menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April lepas berkata lagi, tanpa jawatan itu wakil rakyat dan pemimpin SUPP masih boleh berkhidmat untuk rakyat.

Katanya, keikhlasan dan kesungguhan berkhidmat menyelesaikan masalah rak-yat adalah lebih mustahak berbanding menduduki apa jua jawatan dalam kabinet.

Menurut beliau, SUPP perlu bangkit dan memulihkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti.

“Tidak semestinya jika ada jawatan (Timbalan Ketua Menteri) ia akan memberi lebih kesan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“SUPP perlu lebih kuat, ti-dak boleh tewas dengan pembangkang dalam mencari pe-nyelesaian dengan kerajaan,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh kelmarin berkata, beliau kecewa berikutan SUPP kehilangan jawatan tersebut.

Beliau membayangkan ke-putusan itu adalah susulan kemerosotan sokongan kaum Cina terhadap parti komponen yang mewakili kaum ter-sebut dalam kerajaan negeri.

SUPP tewas 13 daripada 19 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya lepas.

Kelmarin Taib mengumumkan anggota kabinet negeri yang baharu. Tidak ada lantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri tambahan kecuali mengekalkan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Sebelum ini, Soon Koh merupakan antara nama yang dikhabarkan bakal mengisi kekosongan tersebut. Juga dalam senarai ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing.

Sebaliknya, Taib melantik Soon Koh, Masing dan Presiden Parti Progresif Demo-kratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom menjadi menteri kanan.

Ia merupakan jawatan baharu diwujudkan.