Monday, June 14

Regata Baram perkasa masyarakat luar bandar menerusi pelancongan

0

RASMI: Dawos mengibarkan bendera sebagai simbolik perasmian Perlumbaan Bot Laju sempena Regata Baram 2011 sambil disaksikan ADUN Telang Usan Dennis Ngau (kiri), semalam.

MARUDI: Regata Baram merupakan satu produk pelancongan yang cukup istimewa selaras objektif kerajaan untuk memperkasakan masyarakat luar bandar melalui aktiviti pelancongan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit berkata, dengan adanya aktiviti seumpama ini dianjurkan di kawasan luar bandar, termasuk Marudi dan Baram, sudah pasti ia memberi peluang kepada rakyat di sini untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pelancongan terutama yang membabitkan produk tempatan.

“Kita mesti ingat pelancongan merupakan satu industri yang amat bagus untuk rakyat luar bandar. Justeru, saya ingin melihat lebih ramai rakyat di kawasan luar bandar melibatkan diri dalam aktiviti pelancongan sama ada secara langsung atau sebaliknya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Acara Pelumbaan Bot Laju sempena Regata Baram 2011 yang berlangsung di Sungai Baram di sini tengah hari, semalam.

Dawos menegaskan, alam semula jadi yang merangkumi sungai dan hutan yang terdapat di sekeliling kita merupakan tarikan utama dalam industri pelancongan.

“Justeru jaga dan pelihara ia dengan baik untuk dijadikan tarikan utama dalam industi pelancongan agar mampu  menarik lebih ramai pelancong terutama dari luar negara datang ke sini,” katanya.

Katanya, apabila ramai pelancong asing datang ke sini, sudah pasti ia dapat memperkasakan rakyat di kawasan luar bandar melalui beberapa aktivit pelancongan terutama yang melibatkan jualan pelbagai produk tempatan.

“Keadaan ini sekaligus dapat menambah atau meningkatkan sumber ekonomi rakyat di kawasan luar bandar,” ujar beliau lanjut.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2010, para pelancong asing yang datang ke Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM56.5 bilion, manakala pelancong domestik telah berbelanja melebihi RM22 bilion dalam tempoh yang sama.

“Faktor ini telah menjadikan industri pelancongan sebagai penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan negara selepas industri perkilangan dengan menyumbang sejumlah RM80 bilion pada tahun lepas,” katanya.

Menyentuh tentang penganjuran regata itu, beliau berkata, ia bukti jelas menunjukkan rakyat Malaysia khususnya di Sarawak benar-benar komited dan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan keunikan warisan seni dan keindahan budaya tradisi masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di negeri ini.

“Jangan hanya mengganggap regata satu perlumbaan, tetapi lihatlah ia sebagai satu budaya dan warisan. Jika ia bukan budaya dan warisan, sudah tentu ia tidak dapat menarik perhatian pelancong antarabangsa dan domestik,” katanya sambil menambah Regata Baram 2011 turut menerima penyertaan dari pelbagai pihak termasuk negara Brunei Darussalam.

Sesungguhnya, menurut Dawos, Regata Baram bukan sahaja menjadi platform untuk mengetengahkan kebudayaan tradisi masyarakat Baram yang pelbagai dan unik, malah menjadi pemangkin pengukuh perpaduan dan keharmonian di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau berasa amat gembira kerana setiap kali acara itu dianjurkan, sambutan dan penyertaan yang diterima daripada masyarakat di negeri ini amat membanggakan dan ia berlangsung dalam suasana meriah serta penuh harmoni.

“Penyatuan dalam kepelbagaian merupakan satu konsep yang amat baik dan regata ini telah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini serta merapatkan hubungan pemimpin dan rakyat, tidak kira latar belakang kaum kerana semangat kesukanan, kerjasama dan toleransi telah menyatukan kita semua,” ujar beliau lanjut.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.