Rumah setinggan diroboh

0

ROBOH: Salah sebuah rumah setinggan di kawasan Taman Jelita yang dirobohkan oleh pemaju, semalam.

Pemaju beri dua minggu untuk empat lagi rumah dikosong

MIRI: Sebuah rumah setinggan di kawasan Taman Jelita di sini dirobohkan semalam, manakala empat buah rumah lagi diberikan tempoh dua minggu untuk dikosongkan.

Menurut pemaju yang memiliki tanah berkenaan, pihaknya telah memberikan tempoh setahun kepada penghuni-penghuni terbabit untuk mengosongkan kawasan itu, namun tidak diendahkan.

Penghuni di kawasan setinggan berkenaan dikatakan terdiri daripada tiga buah keluarga dan lima buah rumah.

Oleh itu, semalam pihak pemaju bertindak merobohkan rumah yang berada di kawasan milik mereka dengan perintah mahkamah.

Tiga orang pegawai dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri dan dua anggota polis turut memantau operasi merobohkan kediaman tersebut.

Salah seorang pegawai JTS berkata, penghuni setinggan di kawasan berkenaan sebenarnya telah dikesan oleh pihaknya sejak enam tahun lepas.

“Kita ada buat pemerhatian dan mereka (penghuni) ini wujud sejak enam tahun lepas di kawasan ini,” katanya pegawai berkenaan yang enggan namanya disiarkan.

Ini sekali gus menyangkal dakwaan salah seorang penghuni yang memberitahu bahawa beliau telah mendiami kawasan tersebut sejak 20 tahun lalu.

Penghuni berkenaan juga mendakwa beliau turut meminta pertolongan daripada Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berhubung perkara tersebut.

Ahmad Lai ketika dihubungi Utusan Borneo berkata, satu perundingan terakhir antara pihak pemaju dan penghuni kawasan berkenaan telah diadakan dan satu kata sepakat dipersetujui.

“Pihak pemaju telah bersetuju untuk memberikan tempoh selama dua minggu untuk baki empat buah rumah lagi dikosongkan sebelum ia dirobohkan,” jelas beliau.