Saturday, June 19

Taib yakin dengan kemampuan kabinet baharu

0

TAIB

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan barisan kabinet baharunya untuk memantapkan jentera kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, barisan kabinet negeri baharu yang diumumkan pada Rabu lalu merupakan penyusunan terbaik bagi menteri dan menteri muda melaksanakan tugas mereka masing-masing.

“Saya tahu mereka mampu melaksanakan tugas masing-masing dengan baik dan saya percaya barisan kabinet baru negeri mampu membawa hala tuju kemajuan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Taib berkata, penyusunan semula beberapa kementerian dan pengwujudan kementerian baharu merupakan langkah terbaik kerajaan untuk menyaksikan Sarawak terus membangun.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis angkat sumpah tujuh menteri muda baru di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Tujuh menteri muda baharu mengangkat sumpah semalam ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Sebuyau Julaihi Narawi, ADUN Bengoh Dr Jerip Susil, ADUN Belawai Datu Len Talif Salleh, ADUN Bukit Saban Robert Chuat, ADUN Telang Usan Liwan Lagang dan ADUN Bekenu Rosey Yunus.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohd Morshidi Ghani.

Taib menarik perhatian, semua menteri muda baharu yang dilantik adalah kalangan mereka yang berpengalaman dalam bidang dan tugas masing-masing.

“Saya percaya rombakan kabinet negeri kali ini akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk bersama-sama kerajaan dalam mentransformasikan pembangunan lebih mapan,” katanya.

Mengenai kekosongan jawatan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN) ekoran perlantikan Abdul Karim sebagai menteri muda, Taib berkata: “Terpulang kepada ahli-ahli DUN untuk memilih ketua mereka yang baru bagi menggantikan Abdul Karim”.

Selain menteri-menteri muda baru, turut mengangkat sumpah semalam ialah ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee yang dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN baru.

Sehubungan itu, Abdul Karim yang ditemui berkata, terpulang kepada Ketua Menteri untuk melantik bakal pengganti beliau sebagai Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri.

“Ketua Menteri sudah tentu mempunyai calon yang berwibawa untuk mengambil alih tugas saya sebagai Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri,” katanya.

Bagi jawatan BBCBN, Karim juga berkata: “Terserah kepada anggota-anggota Dewan untuk memilih calon pengganti saya”. Abdul Karim yang dilantik sebagai Menteri Muda Perumahan dan Kemajuan Belia juga merupakan pengerusi Pembangunan Perumahan Borneo (BDC).