Tg Manis dikenal pasti untuk RTC

0

Pusat akan perluas pembangunan ekonomi kawasan luar bandar: Shafie

SHAFIE

KUCHING: Sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bakal dibina bagi memperluaskan pembangunan ekonomi khususnya untuk golongan sasaran.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pusat tersebut berperanan sebagai tempat mengumpul, memproses serta memasarkan hasil produk pertanian penduduk luar bandar.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan (luar bandar) yang akan terlibat untuk program RTC ini, kita bermula dengan satu kawasan dahulu untuk membina pusat tersebut bagi menyediakan kemudahan mengumpul, memproses dan memasarkan hasil produk pertanian penduduk pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KEMAS Negeri Sarawak di sini, semalam.

Shafie memberitahu, salah satu tempat yang sudah dikenal pasti ialah di Tanjung Manis yang memiliki infrastruktur bagi tujuan itu.

“Sekarang ini Perak sudah ada, kemungkinan program RTC bagi Sarawak akan dilaksanakan pada hujung tahun ini,” jelasnya.

Tambahnya, selain dijadikan pusat ekonomi bagi penduduk luar bandar, RTC tersebut juga berperanan memberi latihan kepada belia bagi melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan pengusaha produk pertanian.

“Pada masa yang sama, pusat itu juga dijadikan tempat pengurusan perniagaan bagi memasarkan produk pertanian tempat untuk dikomersialkan,” kata Shafie.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangkan terkini projek NKRA (Bidang Keberhasilan Negara) di negeri ini, Shafie berkata, projek tersebut berjalan dengan lancar serta mencapai sasaran yang dikehendaki.

Menurutnya, melalui NKRA Infrastruktur Asas Luar Bandar, kementerian menyasarkan untuk menyediakan 9,146 rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) bagi rakyat termiskin yang terdiri daripada 5,692 buah rumah dan 3,454 rumah dibaik pulih sebelum akhir 2011.

Beliau menjelaskan, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi melaksanakan program tersebut.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,618 rumah bina baru dilaksanakan di Semenanjung, 2,345 di Sabah dan 1,729 di Sarawak.

“Bagi rumah baik pulih, ia merangkumi 2,087 di Sarawak, 919 rumah di Semenanjung dan 449 di Sabah,” ujarnya.

Manakala bagi projek bekalan elektrik luar bandar, katanya, ia turut berjalan lancar berbanding projek bekalan air luar bandar yang mengalami sedikit masalah.

Beliau memberitahu, masalah tersebut disebabkan kekurangan kapasiti loji air di negeri ini, namun usaha untuk menanganinya sedang dijalankan.

Program NKRA merupakan projek jangka masa tiga tahun iaitu 2010 hingga 2012.