Yuran lesen pemaju kekal

0

MENARIK: Abang Johari tertarik dengan replika rumah kediaman yang dipamerkan pada perasmian SARBEX 2011, semalam.

Sarawak tidak akan laksana kenaikan seperti kerajaan pusat: Abang Johari

KUCHING: Kerajaan negeri tidak akan menaikkan yuran lesen pemaju di negeri ini seperti yang akan dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat.

Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang memberi jaminan berhubung perkara itu berkata, kenaikan tersebut tidak melibatkan pemaju di Sarawak.

Jelasnya, kajian semula untuk menaikkan yuran lesen pemaju seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dilihat tidak relevan kepada negeri ini.

“Sarawak mempunyai undang-undang tersendiri dalam menguruskan perkara-perkara  melibatkan pemaju perumahan dan hartanah di negeri ini.

“Justeru, kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan yuran lesen pemaju seperti yang diwajibkan untuk dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat menjelang 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Pameran Perumahan dan Hartanah Sarawak (SARBEX) 2011 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari yang mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula Ordinan Pemaju Perumahan 1993 (Kawalan dan Pelesenan) kerana terdapat beberapa syarat yang tidak relevan dengan keperluan masa kini.

Sejajar dengan pelancaran Polisi Perumahan Nasional baru-baru ini, kajian semula ke atas ordinan itu akan mengambil kira input daripada pemegang saham dan organisasi lain untuk kebaikan industri perumahan.

“Kerajaan menyedari sumbangan besar pemain industri kepada pertumbuhan ekonomi.

“Industri ini tidak hanya membuka peluang perniagaan dan mewujudkan lebih banyak industri lain seperti kewangan, pengangkutan, logistik dan pelancongan.

“Justeru, saya mengingatkan sektor perumahan agar mengambil kira usaha kerajaan, mempromosikan konsep penjimatan tenaga dan teknologi hijau dalam projek pembangunan yang bakal dilaksanakan,” ujarnya.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Zaidi Ahmad, Pengerusi Penganjur, Dr Richard Tan serta lain-lain.