Limbang perlu sebuah lagi PAKK untuk tampung pertambahan kanak-kanak

0

LIMBANG: Bandar ini amat memerlukan sebuah lagi Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) untuk menjalankan pelbagai aktiviti komuniti berikutan pusat sedia ada semakin sesak dan tidak mampu menampung pertambahan kanak-kanak baru.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, masalah kesesakan itu menyukarkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, PAKK berperanan penting untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat khususnya membanteras mereka daripada terjebak dengan kegiatan ne- gatif melalui program yang diatur.

“JKM Bahagian perlu memohon dan mengenal pasti tapak sesuai untuk mendapatkan sebuah lagi PAKK di daerah ini.

“Ini disebabkan pusat yang ada sekarang tidak cukup dan agak sesak untuk menampung kanak-kanak yang ingin mendaftar,” katanya pada Karnival Sukan (PAKK) di Stadium Tertutup, semalam.

Turut sama ialah Penolong Pengarah JKM Bahagian Aziah Saruji, Pegawai Khas Ahli Parlimen Mohamad Abu Bakar dan Pengerusi PAKK Awangku Wahab Pengiran Matusin.

Sementara itu, Hasbi mahu JKM menyediakan sukatan pelajaran tertentu untuk kanak-kanak dalam usaha menjadikan PAKK bukan sekadar tempat berhimpun, malah menjadi pusat ilmu untuk mereka belajar.

“Di samping kegiatan untuk kanak-kanak, PAKK juga menganjurkan program yang membabitkan ibu bapa yang boleh mengeratkan hubungan mereka dengan anak-anak,” katanya.

Beliau menambah, ibu bapa perlu memberi kerjasama yang erat dengan kakitangan PAKK dan tidak melepaskan kesemua tanggungjawab kepada PAKK.

PAKK yang dibuka bagi membanteras anak-anak daripada terjebak dengan kegiatan negatif, dikendalikan oleh seorang pemudah cara dengan dibantu seorang penyelia.

Di sesetengah tempat, penyelia akan dibantu oleh seorang penolong penyelia.

Antara kegiatan yang dijalankan termasuk membuka kelas komputer, tuisyen dan kesenian, program motivasi dan kelas fardu ain.

Di PAKK Limbang, keahliannya dibuka untuk mereka yang berumur di bawah 18 tahun, dan kini pusat itu mempunyai seramai 81 kanak-kanak berdaftar.

Sementara itu, Hasbi mahu ibu bapa terus mengutamakan pendidikan anak-anak dalam proses membesarkan mereka.

“Kita tidak ingin anak-anak hanya menjadi tukang lihat apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Malah anak-anak seharusnya turut serta dalam program pembangunan kerajaan dan menjadi insan yang berjaya,” ujarnya.

Katanya lagi, selepas berjaya, mereka perlu membalas semula jasa dan pengorbanan ibu bapa dengan tidak memingirkan atau menyakiti hati ibu bapa yang menjaga mereka selama ini.