Penduduk Ranggau risau tiang lampu tidak berfungsi

0

LIMBANG: Tiang lampu sudah didirikan hampir 10 tahun lalu, tetapi ia tidak berfungsi sehingga menyebabkan sebahagian penduduk di kawasan Perumahan Ranggau di sini terpaksa bergelap pada waktu malam.

Keadaan itu bukan sekadar mengundang bahaya terhadap keselamatan penduduk, malah turut menyukarkan mereka yang pulang bekerja pada waktu malam.

Difahamkan, masalah sama sering diadukan kepada pihak berkaitan, tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian.

Menurut penduduk, ketiadaan lampu jalan membimbangkan mereka jika berlaku kejadian di luar jangkaan berikutan suasana persekitaran yang gelap.

Keadaan itu menyukarkan penduduk di sini untuk keluar malam sama ada mengunjungi rumah saudara-mara atau membeli barang di kedai runcit berhampiran.

Kegelisahan itu wujud kerana bimbang keselamatan mereka terancam jika terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan dalam suasana gelap dengan melakukan perkara buruk terhadap mereka.

Malah, penduduk juga terdedah kepada aktiviti kecurian dan kehilangan harta benda jika masalah itu berlarutan tanpa sebarang tindakan segera.

Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah ketika mengulas masalah itu mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) segera mengemukakan permohonan dan kertas kerja berhubung masalah lampu di kawasan Rangau.

“Kita minta PBT agar segera mengemukakan peruntukan dan kertas kerja kepada kementerian untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Kertas kerja itu perlu mengandungi jumlah tiang lampu dan kawasan strategik bagi pemasangan lampu jalan di kawasan terbabit,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Hasbi menambah penduduk di Perumahan Ranggau kini semakin bertambah dan memerlukan lampu jalan untuk keselamatan mereka.

“Selain itu, dengan adanya lampu jalan, ia dapat mengelak berlakunya sebarang masalah sosial di kawasan yang agak jauh dari pusat bandar,” ujarnya lagi.

Katanya, kegiatan jenayah termasuk keselamatan harta benda akan dapat dielakkan apabila lampu dipasang di kawasan sama.

“Justeru, kita minta PBT agar dapat bertindak segera untuk menangani masalah ketiadaan lampu jalan di kawasan perumahan itu,” katanya.