Projek k’jaan tiada kaitan kritikan pembangkang

0

MIRI: Penambahbaikan kemudahan di Hospital Miri tiada kaitan dengan kritikan pembangkang, sebaliknya semua projek yang dilaksanakan ketika ini sudah pun dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata, semua projek termasuk empat projek baru yang akan dilaksanakan kelak sememangnya telah dirancang kerajaan demi keselesaan pesakit.

“Empat projek yang dimaksudkan ialah penambahan bilik Patologi dan Isolasi, bilik pembedahan serta menaik taraf bangunan selain penambahan mesin MRI,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Senadin menjelaskan, kritikan pembangkang terhadap kemudahan Hospital Miri sebelum ini tiada kaitan dengan projek yang dilaksanakan kerajaan.

“Kerajaan sudah merancang empat projek ini, namun disebabkan kelewatan proses tender dan peruntukan, kesemua projek ini akan dilaksanakan selewatnya-lewatnya tahun ini,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, keempat-empat projek yang bakal dilaksanakan itu telah diumumkan sempena lawatan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai dahulu.

“Kita tidak buat projek pembangunan Hospital Miri selepas mendengar kritikan pembangkang, sebaliknya ia sudah lama dirancang, namun akibat kelewatan tender, ia terlewat daripada jadual ditetapkan,” ujarnya.

Tambahnya, antara projek lain yang sudah dilaksanakan termasuk tempat letak kereta yang lebih luas, selain membina pemegang besi untuk kegunaan warga emas di sepanjang laluan strategik.

Terdahulu, Lee menerima kunjungan Persatuan Agama Buddha (1993) Miri yang kemudiannya menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada Unit Kanser Kepala dan Leher Hospital Miri dan RM2000 lagi kepada Pusat Dialisis Miri.

Dalam perkembangan lain, Lee memberitahu masalah  jerebu yang berlaku di Miri bukan disebabkan pembakaran terbuka oleh petani di    kawasan Senadin dan Permyjaya sebaliknya dari negara jiran.

“Lebih 300 tompok panas dikesan di Sumatera dan kebakaran terbuka di sana telah mengakibatkan jerebu seterusnya ia merebak ke Sarawak terutamanya di Miri akibat dibawa angin,” jelasnya.

Pun begitu, katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri berjaya memadam pembakaran tanah gambut di Senadin dan Permyjaya yang dilakukan oleh petani kecil-kecilan untuk aktiviti ber- cucuk tanam.