PRU: Penduduk Limbang mahu Hasbi dicalon semula

0

LIMBANG: Penduduk di sini mahu Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang berikutan pencapaian cemerlang beliau dalam mentransformasikan pembangunan di daerah ini.

Pegawai Khas Ahli Parlimen, Mohamad Abu Bakar berkata, Hasbi juga seorang pemimpin ëkesayangan rakyatí yang membawa perubah-an menyeluruh selepas dipilih sebagai pemimpin pada pilihan raya umum tahun 2008.

Jelasnya lagi, Limbang juga mengalami pelbagai transformasi pembangunan hasil kerjasama dan gabungan mantap beliau dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.

“Banyak usaha yang dija-lankan oleh Hasbi untuk mentransformasi dan mengubah wajah Limbang di bawah pentadbirannya. Malah, beliau juga seorang pemimpin yang bekerja keras dan sentiasa turun padang meninjau masalah rakyat khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Gagasan 1Malaysia dan Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Biro Tatanegara (BTN) dan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Limbang, baru-baru ini.

Turut sama ialah Awang Damit Ali Hasan, Timbalan Pengarah BTN Yunus Taib, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, Penguasa KPS Bahagian Latipah Yusop, wakil Ketua Imigresen Pos Tedungan Zamri Seman, Timbalan Pengerusi PBB Batu Danau Jun Silah dan Pegawai BTN Bohari Morshidi.

Beliau yang diberi tepukan gemuruh hampir 500 tetamu optimis pencalonan semula Hasbi akan diberi kemenangan dan sokongan luar biasa oleh masyarakat Limbang pada pilihan raya umum kelak.

“Kami yakin Hasbi dapat meraih undi serta kemenangan yang lebih baik pada pilihan raya akan datang berdasarkan sumbangan dan usaha gigih beliau kepada rakyat di kawasan ini.

“Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai wakil rakyat di kawasan ini, beliau telah banyak menyelesaikan masalah rakyat dan pembangunan selain turut berjuang untuk mempertingkatkan tahap ekonomi penduduk,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin program 1Malaysia mampu menjadi platform kepada rakyat untuk memperkasakan perpaduan selain memberi kefahaman mengenai gagasan tersebut di peringkat akar umbi.

“Teruslah memelihara perpaduan dan kesefahaman ini, demi menjamin perjuangan anak bangsa 1Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Yunus memberitahu BTN akan memperluaskan konsep 1Malaysia di kawasan luar bandar di negeri ini melalui pelbagai program yang diatur.

“Tumpuan kita adalah untuk memberi penerangan menyeluruh kepada golongan sasar di kawasan luar bandar agar mereka mengamalkan 1Malaysia sebagai budaya seharian.

“Kita juga akan menyesuai-kan program tersebut meng-ikut keperluan dan cita rasa penduduk di kawasan yang terlibat,” jelasnya.

Menyentuh mengenai pembangkang yang banyak menimbulkan isu sensitif yang boleh memberi impak negatif terhadap konsep itu, Yunus berkata, ia tidak akan mengaburi mata rakyat yang sema-kin menyedari taktik mereka.

“Kebanyakan isu yang ditimbulkan adalah untuk menarik perhatian rakyat seperti isu hudud menjelang pilihan raya. Rakyat sendiri sudah matang, malah parti pembangkang lain dalam Pakatan Rakyat (PR) turut menentang pelaksanaan hudud,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan pada majlis itu termasuk persembahan nyanyian, joget berpasangan, bermukun tiga serangkai dan pertandingan pakaian seragam kategori kanak-kanak.