PIBG haruslah sentiasa efisien, kata Jelaing

0

SELAMAT DATANG: Seorang gadis menyematkan bunga pada baju Jelaing ketika menghadiri majlis makan malam berkenaan semalam.

Untuk tingkat kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih komprehensif, berwibawa dan bertaraf dunia

SARATOK: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus sentiasa efisien untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih komprehensif, berwibawa dan bertaraf dunia.

Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata, selain sebagai organ penting dalam institusi pendidikan rendah dan menegah, PIBG juga merupakan rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul.

“Apa jua bentuk kekurangan dan masalah yang timbul di sekolah, PIBG perlu tampil membantu memberi sokongan kerana segala yang berkaitan dengan sekolah meliputi sistem pentadbiran dan pengurusan hendaklah ditadbir bersama dan bukannya menyerah kepada satu pihak sahaja,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran SK Orang Kaya Tanduk (OKT) semalam.

Katanya, kerajaan sentiasa memandang serius terhadap segala yang berkaitan dengan pendidikan dan ia dibuktikan apabila institusi berkenaan menerima peruntukan bajet yang cukup besar setiap tahun.

Pun begitu jelas beliau, kadangkala kerajaan tidak dapat melakukan penyelesaian segera terhadap masalah yang berlaku di sekolah dan pada masa itu, PIBG perlu memainkan peranan.

Menurut Jelaing, suatu ketika dulu peranan PIBG bukan sahaja terbatas dalam membantu menguruskan pentadbiran sekolah, malah mereka juga terlibat dalam aktiviti bergotong-royong dalam menyediakan dan menaik taraf kuarters guru, membina kelas yang baru dan sebagainya.

“Alangkah baiknya, sekiranya perkara yang sama masih dilakukan pada hari ini sementara menunggu bantuan daripada kerajaan,” ujar beliau lagi.

Bercakap lanjut pada majlis yang sama, Jelaing juga menasihati ibu bapa supaya tidak mengabaikan pelajaran anak-anak.

Apatah lagi, negara semakin berkembang maju dan pendidikan merupakan modal yang cukup penting untuk melangkah ke era baru.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak dan bukannya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak sekolah sahaja.

Ini kerana, mereka (anak-anak) mempunyai lebih banyak masa bersama ibu bapa berbanding di sekolah.

Dalam majlis yang sama, Jelaing turut menyampaikan geran kira-kira RM50,000 kepada 100 sekolah di Saratok.