Tiada projek perumahan terbengkalai di Sabah

0

SERAH GERAN ... Hajiji (tiga dari kanan) menyerahkan geran tanah kepada salah seorang penerima.

KENINGAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sememangnya memberikan peluang kepada mana-mana syarikat tempatan untuk meneruskan pelaksanaan perumahan yang sudah lama terbengkalai di negeri ini.

Menterinya, Datuk Hajiji Noor berkata ini merupakan suatu perkembangan yang baik dan kerajaan memberikan galakan kepada mana-mana syarikat yang mahu berbuat demikian namun ianya tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak kementerian.

Bagaimanapun dalam perkara ini, katanya, pihak Kementerian terlebih dahulu akan meneliti latar belakang syarikat terbabit termasuk memastikan samada ianya mampu untuk meneruskan projek yang hendak dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan geran-geran tanah Individu Taman Kota Fasa 1 di sini yang diadakan di Hotel Perkasa pada Khamis lalu.

Menurutnya, pada ketika ini tidak ada projek perumahan di Sabah yang terbengkalai.

“Kalau ada pun projek perumahan yang terbengkalai, semua itu dibina pada tahun 1980 yang berpunca ekoran daripada krisis kewangan pada ketika itu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hajiji memuji usaha yang dilakukan oleh pihak Syarikat Landmark Property yang berani mengambil risiko dengan meneruskan projek perumahan Taman Kota Fasa 1 yang terbengkalai lebih 20 tahun itu.

“Projek Taman perumahan itu telah terbengkalai sejak tahun 1980 namun Syarikat Landmark Property membuat keputusan untuk meneruskan projek berkenaan. Akhirnya kerja-kerja membangunkan taman perumahan itu dilaksanakan pada tahun 2008 dan telah siap sepenuhnya .

“Kita amat berbangga dengan pencapaian syarikat itu dan ianya suatu contoh terbaik yang diketuai oleh Dr Gordon Loke selaku Ketua Pegawai Eksekutif,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 62 pembeli menerima geran masing-masing yang disampaikan oleh Hajiji dan disaksikan oleh Gordon.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Matius Sator dan Pegawai Daerah Keningau, Amat Mohd Yusof.