Bazar Kraftangan Miri 2011 bermula 7-9 Okt

0

MIRI: Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, Pusat Kraftangan Miri (PKM) akan menganjurkan Bazar Kraftangan Miri 2011 pada 7, 8 dan 9 Oktober ini bermula dari jam 8 pagi.

Pengerusinya Kaunselor Kijan Toynbee memberitahu, sebanyak 20 gerai kraf tangan dan 10 gerai menjual makanan dan minuman turut disediakan sepanjang program dua hari itu.

Menurutnya, antara aktiviti yang turut diadakan termasuk pertandingan menyumpit, karaoke, tarian 1Malaysia dan dekorasi gerai terbaik selain demonstrasi penghasilan batik.

“Pelbagai kraf tangan asli buatan tangan kaum etnik di sini akan dipamer dan dijual pada hari tersebut dan kami menggalakkan masyarakat setempat datang beramai-ramai menyokong industri kraf tangan,” ujarnya.

Dalam masa sama katanya, program itu akan berlangsung di luar PKM dan beberapa kanopi akan didirikan di luar bangunan PKM bagi menarik minat orang awam.

Tambahnya, peniaga dari luar kawasan Miri sama ada pengusaha kraf tangan atau makanan juga digalakkan menyertai program ini dengan membawa sendiri kanopi bersaiz 10×10 kaki.

Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Datuk Bandar Miri Lawrence Lai pada 7 Oktober ini.