Tuesday, November 12

Landas FC juara

0

LUNDU: Kekecewaan pada Regata Sarawak tahun ini terubat apabila Landas berjaya menjulang Piala Tan Sri Adenan Satem setelah menang 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Brooke Dockyard pada perlawanan akhir di Stadium Mini Lundu, di sini petang kelmarin (Ahad).

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit perlawanan dengan aksi mereka diheret dalam masa tambahan.

Landas FC yang dibintangi ramai pemain berpengalaman termasuk bekas pemain My Team, Izrol Abdillah terpaksa menunggu sehingga detik penentuan sepakan penalti.

“Kita amat gembira dengan kemenangan menjuarai Piala Tan Sri Adenan kali ini dan kami amat teruja dapat menebus kekecewaan merebut gelaran ‘Raja Sungai’ dalam Regata Sarawak baru-baru ini,” kata pengurus pasukan, Abdullah Julaihi.

Menurut Abdullah, kejayaan menjulang Piala Tan Sri Adenan Satem itu akan menyuntik semangat juang yang lebih tinggi kepada anak-anak buahnya untuk menghadapi kejohanan akan datang.

Beliau yakin Landas akan mampu merintis landasan terbaik untuk memburu kejuaraan lain dalam kejohanan bola sepak tempatan.

“Saya yakin kejayaan itu akan menjadi pemangkin buat skuad kami (Landas) untuk terus menggapai kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya.

Hadiah pemenang disam-paikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina yang mewakili Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap ADUN Tanjung Datu, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.